PETALING JAYA – Pelakon Datuk Afdlin Shauki akhirnya mengesahkan sudah berkahwin dengan wanita pilihan yang juga merupakan pengurusnya pada Ogos lalu, sekali gus meleraikan spekulasi tentang statusnya dudanya.
Dedah Afdlin atau nama lengkapnya Afdlin Shauki Aksan, dia dan isterinya, Marcella, 27, tidak menjalinkan hubungan dalam tempoh panjang sebelum mereka memutuskan untuk berkahwin.
“Apa yang saya boleh kongsikan, alhamdulillah saya sudah berumah tangga.
“Kami dalam keadaan yang sangat bahagia. Allah permudahkan segala urusan, itu yang saya mahukan.
“Dari dulu hingga sekarang dia masih bekerja dengan saya. Kami pun bercinta sekejap kerana saya sudah berumur,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan stesen televisyen terkemuka.
Dalam masa sama, pelakon dan pengarah filem Papadom itu memaklumkan bahawa perkahwinannya mendapat restu bekas isteri dan anak-anaknya.
“Anak-anak dan bekas isteri mengenali isteri baharu saya serta merestui hubungan kami.
“Saya harap perkara peribadi tidak perlu jadi fokus dan tumpukan kepada kerjaya saya sahaja,” ujarnya.
Menurut laporan Kosmo! Online pada Mei lalu, pelawak itu memberikan gambaran bahawa Ogos adalah momen penting dalam kehidupannya.
Sebelum ini, selepas hampir 25 tahun mendirikan rumah tangga bersama Maria Christina Orow Abdullah, Afdlin mengambil keputusan berpisah pada April 2022.
Hasil perkahwinan sejak 1997, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin. – KOSMO! ONLINE