fbpx

9 lelaki ceroboh hutan simpan mahu teroka REE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fisol menunjukkan barangan yang dirampas berkaitan penerokaan REE pada sidang akhbar di IPK Kedah di Alor Setar, hari ini. - Foto SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Sembilan lelaki termasuk lima warga asing yang dituduh di Mahkamah Sesyen Baling, hari ini, kerana menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik, dipercayai berbuat demikian dengan tujuan mencari lokasi untuk meneroka unsur nadir bumi (REE).

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, mereka bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana syarikat, sebaliknya hanya menjalankan kerja-kerja itu secara sendiri.

Menurutnya, kesemua mereka dipercayai masuk ke lokasi tersebut kira-kira dua atau tiga bulan lalu dengan pihak polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi menguji keberadaan REE di kawasan tersebut.

“Siasatan kami menunjukkan mereka masih berada di fasa awal untuk membuat kajian mengenai kewujudan REE di kawasan berkenaan. Kesemua suspek bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran untuk meneroka REE atau memasuki Hutan Simpan Rimba teloi.

“Kesemua mereka ditahan di kompartmen 35 hutan simpan berkenaan dengan pihak kami turut merampas tiga kenderaan serta contoh tanah yang disyaki akan digunakan bagi tujuan pengesanan REE di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Terdahulu, sembilan individu terdiri daripada empat lelaki tempatan, seorang warga China dan empat Indonesia tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan menceroboh hutan simpan berkenaan.

Mereka dituduh mengikut Sub Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, individu terlibat turut berdepan beberapa lagi pertuduhan di bawah akta Imigresen, di mahkamah sama.

Mengulas lanjut Fisol berkata, ada antara warga asing tersebut didapati melanggar pas lawatan kerja yang dikeluarkan kepadanya.

“Pas lawatan kerja dikeluarkan terhadap warga asing berkenaan menunjukkan yang dia sepatutnya bekerja di negeri lain tetapi individu berkenaan bekerja di sini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI