MELAKA – Sasaran 15,000 suri rumah mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di negeri ini mampu dicapai menjelang hujung tahun ini, kata Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka, Abd. Razak Omar.
Beliau berkata, seramai 6,499 suri rumah telah mencarum SKSSR di Melaka sehingga 10 September lalu dan dijangka bertambah dalam masa terdekat.
Jelasnya, lebih banyak pihak perlu tampil menaja perlindungan yang diperkenalkan Perkeso itu kepada lebih ramai suri rumah agar nasib mereka sekiranya ditimpa kemalangan akan terbela.
“Perkeso negeri kini giat melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk menarik lebih ramai kaum wanita, khususnya suri rumah untuk mencarum SKSSR.
“SKSSR terbuka kepada semua golongan wanita yang menguruskan rumah tanpa mengira sudah berkahwin atau belum, ibu tunggal, yang sudah bercerai dan mestilah berusia di bawah 55 tahun,”katanya selepas Program Pemimpin Bersama Masyarakat SKSSR di Wisma Perkeso di sini, hari ini.
Pada program tersebut, seramai 150 suri rumah dalam Parlimen Hang Tuah Jaya menerima SKSSR melibatkan penajaan berjumlah RM13,200.
Tambah Abd. Razak, pihaknya akan meluaskan hebahan caruman SKSSR kepada suri rumah dalam golongan orang asli di Melaka. – KOSMO! ONLINE.