fbpx

17 ahli sindiket termasuk suami isteri diberkas, dadah RM1.64 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN menunjukkan antara rampasan dadah bernilai RM1.64 juta yang dirampas pihaknya dalam operasi di Johor Bahru dan Iskandar Puteri, semalam.

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri antara 17 individu yang ditahan dalam lima serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri, di sini.

Dalam operasi yang dijalankan antara pukul 3 petang Jumaat lalu hingga pukul 9 pagi, semalam, mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki tempatan, tiga wanita tempatan dan dua wanita warganegara asing.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek yang diberkas masing-masing berusia 17 hingga 55 tahun.

“Serbuan dijalankan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor. Kesemua suspek ditahan bersama sejumlah dadah bernilai lebih RM1.64 juta yang diperoleh dari luar negara.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan rumah sewa khususnya di kawasan kediaman berpagar dan berpengawal sebagai stor simpanan dadah dan pusat pembungkusan sebelum dadah tersebut diedar ke pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Tambah Kamarul Zaman, dadah yang dirampas termasuklah 14.85 liter cecair ekstasi, 21.66 kilogram serbuk ekstasi, 598 gram ketamin, 102 gram pil erimin 5 dan 10 biji pil ekstasi.

“Sekiranya berada di pasaran, sejumlah dadah itu boleh digunakan seramai 124,925 orang penagih dadah. Sindiket ini turut menyasarkan jualan di pusat-pusat hiburan sekitar bandar raya ini.

“Mereka akan membungkus semula dadah ke dalam pembungkusan pelbagai jenis minuman untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” ujarnya.

Kamarul Zaman turut memberitahu, selain dadah, polis turut menyita tujuh buah kenderaan, barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM26,450 dan wang tunai SGD12,250 (RM44,568.52).

Semua barangan yang disita bernilai lebih RM1 juta manakala nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bagi operasi ini adalah lebih RM2.64 juta.

“Hasil ujian urin turut mendapati 10 daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala hasil semakan rekod mendapati sembilan daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah selain mereka sudah aktif sejak Julai lalu.

“Kesemua suspek direman lima hari bermula semalam hingga Khamis depan bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI