LONDON – Seorang tukang kebun di Britain menanam sebiji timun didakwa paling berat di dunia yang mencecah 13.6 kilogram, lapor akhbar The Sun semalam.
Timun berwarna jingga berukuran 121 sentimeter panjang itu memecahkan rekod sebelumnya iaitu timun seberat 3.17 kg yang ditanam oleh David Thomas pada 2015.
Ia merupakan kejayaan kedua bagi Vince Sjodin yang pernah memecahkan rekod dunia dua tahun lalu selepas menanam sebiji zukini seberat 114 kilogram.
Menurut Sjodin, sayurnya tumbuh begitu besar kerana udara segar di kebunnya yang terletak di Barry, Vale of Glamorgan, selain ‘formula rahsia’ yang digunakan.
“Ia satu pencapaian yang hebat. Saya telah berbual dengan bekas pemegang rekod dunia, David Thomas pagi ini dan dia kagum,” katanya.
Beberapa hari sebelum itu, Sjodin bimbang dengan perubahan suhu di sekitar kebunnya selepas kehilangan sebuah zukini seberat 98 kilogram yang pecah akibat hujan.
“Syukurlah timun itu bertahan dan saya menantikan beberapa biji epal untuk diraikan,” tambahnya.
Sjodin digelar oleh keluarganya sebagai Vince the Veg (si tukang kebun Vince) selepas menanam timun itu sejak Mei lalu.
Dia akan menyiramnya dengan sejenis cecair pada setiap hari untuk meningkatkan pertumbuhan daun dan pengeluaran buah. – Agensi