MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester United, Victor Lindelof mendedahkan, dia dan rakan-rakan sepasukan tetap bersemangat menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Burnley di Turf Moor awal pagi esok.
Skuad The Red Devils terus dibelenggu kekecewaan apabila mengalami kekalahan ketiga berturut-turut selepas tewas 3-4 kepada Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara di Allianz Arena kelmarin.
Walaupun berdepan Burnley, namun Lindelof menganggap ia sebagai perlawanan penting dalam usaha mereka untuk mengembalikan keyakinan diri selain menjadikan Burnley sebagai mangsa kebangkitan.
“Saingan Liga Perdana, tidak kira bertemu pasukan apa pun, ia sentiasa menjanjikan aksi sukar. Apa yang penting sekarang adalah kami perlu berehat dan mengembalikan tahap kecergasan masing-masing.
“Sebaik tiba di Manchester, kami perlu terus melakukan persiapan bagi perlawanan menentang Burnley. Semua pemain bersemangat serta tidak sabar untuk beraksi dan mengutip tiga mata berharga,” katanya.
Sementara itu, Lindelof juga tampil mempertahankan kesilapan dilakukan penjaga gol, Andre Onana yang gagal menangkap kemas percubaan Leroy Sane yang seterusnya menghasilkan gol pertama buat Bayern.
“Kesilapan adalah sebahagian daripada bola sepak. Ia sentiasa berlaku dan ia hanya memerlukan fokus untuk setiap pemain bangkit lebih baik daripada kesilapan tersebut,” ujar pemain antarabangsa Sweden itu. – AGENSI