fbpx

Teheran penjara wanita jika tidak berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hukuman lebih berat akan dikenakan kepada wanita yang melanggar peraturan pemakaian hijab di Iran. – AFP

TEHERAN, Iran – Parlimen Iran pada Rabu lalu meluluskan rang undang-undang (RUU) baharu membolehkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas wanita yang melanggar peraturan pemakaian hijab, lapor portal berita CNN kelmarin.

Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas ulang tahun pertama protes besar-besaran yang tercetus berikutan kematian Mahsa Amini.

Mahsa yang merupakan wanita berketurunan Kurdis-Iran dan berusia 22 tahun, meninggal dunia pada September 2022 ketika dalam tahanan polis moral kerana didakwa tidak mematuhi kod pakaian di Iran.

Undang-undang itu akan dilaksanakan dalam tempoh percubaan selama tiga tahun dan menetapkan pelbagai peraturan mengenai etika berpakaian yang jika dilanggar, boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Namun, Majlis Penjaga yang menyelia urusan perundangan di Iran masih perlu meluluskan RUU itu sebelum ia dilaksanakan.

Semua RUU yang diluluskan oleh Parlimen mesti disemak dan diluluskan pula oleh majlis ber­kenaan.

RUU itu menggariskan bahawa wanita yang tidak memakai tudung dengan betul di khala­yak ramai dan lelaki berpakaian mencolok mata akan didenda.

Denda akan meningkat jika pesalah mengulangi kesalahan sama.

Mana-mana orang yang dilihat telanjang atau berpakaian separuh bogel di khalayak ramai, tempat awam atau di jalan raya atau muncul dengan cara yang lazimnya dianggap berbogel, akan segera ditangkap, demikian me­nurut RUU sama.

Mereka yang bersekongkol dengan media asing dan kerajaan luar untuk mempromosikan kebogelan, pemakaian hijab yang tidak betul atau pakaian tidak wajar turut berdepan hukuman penjara 10 tahun. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI