IKAN toman merupakan spesies ikan pemangsa yang banyak mendiami sungai dan tasik di negara ini, khususnya kawasan berair bersih.
Sifatnya yang suka membaham umpan secara kasar membuatkan ia menjadi antara spesies yang kerap diburu para kaki pancing di negara ini.
Malah, kekuatannya untuk melawan ketika menarik umpan juga mampu meningkatkan adrenalin para pemancing dalam usaha ‘mendaratkan’ spesies ‘monster’ tersebut.
Perkara itu diakui sendiri oleh Muhammad Helmi Mohd. Sobri, 31, yang kerap menjadikan ikan toman sebagai spesies buruannya.
Berasal dari Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, dia memberitahu, antara ‘port’ yang kerap dikunjungi untuk memburu ikan pemangsa itu adalah di Sungai Kedah.
“Sebenarnya, Sungai Kedah mempunyai banyak lubuk toman yang boleh dituju dan sejak aktif memburu toman bermula dari tahun 2016, banyak lokasi yang sudah saya kenal pasti.
“Sebagai seorang pemburu ikan toman juga, saya sudah mahir dengan musim-musim yang sesuai untuk memburu ikan itu di Sungai Kedah.
“Jadi, selain hobi memancing, saya juga mempunyai bot untuk membawa kaki pancing yang ingin memburu ikan toman di Sungai Kedah sebagai pendapatan sampingan saya,” katanya.
Bercerita lanjut, Helmi memberitahu, toman lebih mudah diburu ketika musim ibu ikan membawa anak.
Ini kerana jelasnya, apabila si ibu toman merasa keselamatan anak-anaknya terancam disebabkan oleh gangguan termasuk umpan yang dilemparkan, si ibu akan membaham umpan tersebut secara serta-merta.
Jelas Helmi lagi, ketika di luar musim ibu toman bawa anak pula, pemancing boleh memburu toman ‘bujang’ yang kebiasaannya berenang sendirian.
Namun katanya, teknik yang digunakan sedikit berbeza kerana pemancing perlu mencuba nasib dengan melemparkan umpan ke kawasan lubuk untuk memburunya.
Jika kebetulan umpan yang dilempar berada berhampiran, ikan toman ‘bujang’ akan turut membaham umpan.
“Disebabkan saiz toman di Sungai Kedah ini agak besar, biasanya saya akan gunakan tali utama jenis benang bersaiz 50 paun dan dipadankan dengan tali perambut bersaiz 60 paun.
“Ia bagi memastikan tali tidak mudah putus ketika menahan daya lawan ikan.
“Mata kail pula, saya lebih gemar menggunakan saiz 1, 2 atau 1/0 kerana ia lebih besar dan kuat,” terangnya.
Helmi memberitahu toman ‘monster’ terbesar yang pernah dipancingnya adalah seberat kira-kira 10 kilogram (kg).
Malah katanya, rata-rata toman yang kerap dinaikkan sama ada oleh dirinya ataupun para pemancing yang menyewa botnya adalah sekitar 4kg hingga 8kg.
“Jika saya tidak membawa pelanggan, saya lebih gemar melepaskan semula ikan toman yang berjaya dipancing ke dalam sungai. Ia bagi memastikan ibu toman tersebut dapat kembali kepada anak-anaknya, selain bagi memastikan jumlah ikan toman di Sungai Kedah sentiasa ada untuk dipancing,” katanya.
Tambahnya, pada masa kini, harga pasaran ikan toman adalah sekitar RM6 hingga RM9 bagi ikan toman mati dan RM15 bagi yang masih hidup.
Disebabkan harganya yang tidak terlalu tinggi jugalah mendorong Helmi melepaskan semula ikan berkenaan yang berjaya dipancing bagi memastikan kesinambungan kewujudan spesies tersebut di Sungai Kedah.