fbpx

PTPTN tawar 30,893 pelajar wang pendahuluan pinjaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penerima WPP bergambar bersama Norliza (belakang empat dari kiri) ketika Majlis Penyampaian WPP PTPTN di Pulau Pinang pada 22 September lalu.

PETALING JAYA – Seramai 30,893 pelajar ditawarkan Pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 bagi kemasukan peringkat Ijazah Sarjana Muda ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) sesi Oktober tahun ini.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif pemberian WPP ini adalah sebagai salah satu usaha bagi memastikan semua pelajar mampu melangkah masuk ke IPT tanpa sebarang masalah kewangan.

Ujarnya, pemberian WPP ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa kerana tidak semua mampu menghantar anak-anak ke IPT disebabkan kos yang tinggi.

“Gunalah peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dan tunjukkanlah rasa terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara.

“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar-pelajar di atas kejayaan melangkah ke menara gading,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, WPP diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa memohon melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA.

“Selain itu, syarat lain adalah ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang telah ditetapkan,” katanya.

Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos tahun ini, seramai 969,046 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion manakala sebanyak RM46.34 telah diperuntukkan untuk sesi kemasukan Oktober ini.

Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 19 September 2023 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).

Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN juga boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI