fbpx

Piala Asia: Ayuh atlet, berjuanglah demi maruah Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUKAN Asia Hangzhou 2023 di China membuka tirai secara rasmi hari ini. Pastinya atlet-atlet terbaik di benua Asia berhimpun untuk membuktikan kejagoan masing-masing. Sedia menjadi yang terbaik dan No. 1 Asia sekurang-kurangnya.

Malaysia tidak ketinggalan, turut menghantar kontinjen bersaing pada temasya sukan terbesar Asia empat tahun sekali tersebut yang sudah memasuki edisi ke-19 di Hangzhou.

Dilihat daripada persiapan serta riak wajah dua minggu kebelakangan ini, semua atlet nampaknya teruja dan bersemangat untuk berdepan lawan masing-masing.

Tidak mustahil sudah ada antara atlet negara yang mungkin telah menelaah lawan sama ada dari segi strategi, kekuatan, kemahiran atau kelemahan untuk modal pertarungan sehingga berakhirnya kejohanan pada 8 Oktober depan.

Apa yang menariknya, Kontinjen Malaysia buat kali pertama dalam sejarah tidak menetapkan sasaran spesifik warna pingat, sebaliknya hanya mengumumkan 27 pingat menjadi sasaran negara secara keseluruhan.

Sebaik pengumuman, ramai yang terpinga-pinga dengan tindak-tanduk di luar kelaziman tersebut. Justeru, apa manfaatnya untuk pergi jauh-jauh bersaing di Hangzhou, tapi tanpa ada matlamat? Mungkin itu yang kita fikirkan.

Bagaimanapun, Majlis Sukan Negara (MSN) mendedahkan, pendekatan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pendapat pakar dari Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo, Jepun.

Malah, pendekatan tidak menetapkan jumlah sasaran pingat emas sudah dipraktikkan oleh negara seperti Jepun dan Australia yang kononnya enggan meletakkan tekanan berlebihan ke atas atlet jika sasaran tergalas di bahu terlalu berat.

Berdasarkan pendekatan itu, atlet dipercayai bebas daripada sebarang tekanan ketika bertanding, namun bagaimana dengan kesungguhan mereka untuk menang? Sudah tiada sasaran, jadi kenapa terhegeh-hegeh untuk menang?

Bukan begitu, atlet juga manusia yang ada hati dan nurani. Setelah sekian lama berlatih, mereka semua pasti akan bersungguh-sungguh untuk berjuang memburu kemenangan meskipun tidak ditetapkan sasaran spesifik.

Apa gunanya jutaan ringgit telah dilaburkan kepada kontinjen negara selama ini jika mereka hanya hadir semata-mata sebagai peserta yang melengkapkan penyertaan, lepas itu boleh jalan-jalan cari makan di Hangzhou.

Tiada lagi alasan buat atlet untuk tidak boleh menuai apa yang telah disemai. Seluruh rakyat Malaysia pasti teguh di belakang anda untuk memburu kemenangan. Berjuanglah dengan sehabis daya demi negara tercinta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI