BENTONG – Kehangatan dan perang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kini bermula apabila parti-parti bertanding mengemukakan nama wakil mereka pada hari penamaan calon hari ini.
PRK DUN Pelangai bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.
BN mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong yang juga anak jati Felda Chemomoi, Datuk Amizar Abu Adam, 50, untuk mempertahankan kubu kuat parti tersebut.
PN pula sekali lagi mencalonkan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong, Kasim Samat, 63, yang pernah bertanding di DUN Pelangai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun tewas kepada Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Bagi calon Bebas pula, Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli, 36, pula dijangka menawarkan diri untuk bertanding.
Kesemua calon dijangka tiba di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini bersama penyokong masing-masing seawal pagi.
Bakal calon diberi tempoh selama sejam bermula pukul 9 hingga pukul 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan, sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan oleh pegawai pengurus di pusat penamaan calon.
Proses penamaan calon hari ini juga dijangka dihadiri dua Menteri Besar iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dikatakan akan memberikan sokongan kepada calon parti masing-masing.
Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR mengingatkan orang awam serta penyokong agar tidak menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon yang telah ditetapkan.
“Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada hari penamaan calon.
“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5),” katanya.
PRK Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober ini susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Johari, 53, yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.