KUALA LUMPUR – Seorang pemandu treler akan dihadapkan ke mahkamah Isnin hadapan berhubung nahas mengorbankan dua nyawa serta membabitkan 14 kenderaan di Jalan Persiaran Utara, berdekatan Presint 12, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), semalam.
“Kertas siasatan tatatertib (KST) telah dirujuk ke TPR dan diberi arahan untuk dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Isnin hadapan.
“Reman dilanjutkan selama dua hari untuk Orang Kena Tuduh (OKT) terus dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lalu, seorang pemandu treler yang terbabit nahas 14 kenderaan di Jalan Persiaran Utara, berdekatan Presint 12, di sini, direman empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.14 pagi itu, dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh lori treler bermuatan pasir dan batu selain 14 mangsa lain cedera.
Mangsa yang maut dikenali Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang juga kakitangan Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, penjawat awam di Mahkamah Ampang.
Nahas membabitkan 14 buah kenderaan termasuk lima motosikal termasuk sebuah motosikal pengiring polis, tujuh buah kereta dan dua buah lori. – KOSMO! ONLINE