KONSEP hiasan dalaman moden kontemporari sering menjadi pilihan pemilik kediaman untuk diterapkan pada rumah mereka memandangkan ia mempunyai pesona tersendiri, cukup relevan dan tidak kelihatan lapuk dek zaman.
Rona natural seperti putih dan kelabu sering kali melatari kediaman konsep ini yang menyerlahkan elemen mewah pada tata riasnya.
Bagi Nurul Rosnan, memiliki kediaman sendiri dengan konsep yang diidamkan merupakan satu kepuasan buatnya.
Ujarnya, banyak rekaan hiasan adalah idea daripada dirinya sendiri dan diterjemahkan dengan baik oleh kontraktor pilihan.
“Bagi beberapa sudut di kediaman ini, idea itu datang daripada saya sendiri. Saya kemudiannya mencari tukang besi dan juga kontraktor untuk merealisasikan kediaman impian saya.
“Syukur ia menjadi dan saya berpuas hati dengan hasilnya,” ujar Nurul.
Kediaman yang terletak di Klang, Selangor itu baru dihuni Nurul sekeluarga sejak Mei lalu.
Saat kaki melangkah masuk ke ruang tamu kediaman, paduan rona lembut seperti putih dan kelabu menerpa anak mata, sekali gus memberi efek tenang pada ruangan itu.
Menariknya, bagi menambah seri serta mencipta elemen kontra pada ruang tamu kediaman, Nurul memilih sofa tiga tempat duduk daripada rona merah jambu lembut.
Biarpun ringkas, ia mampu menyuntik satu kelainan yang ketara pada seisi ruang, sekali gus menjadikan sofa tersebut sebagai titik tumpuan yang cantik pada ruang itu.
Rona natural turut diterapkan pada ruang makan utama keluarga bagi mencipta kesenadaan dengan konsep pilihan.
Meja makan kayu dengan bangku jenis bench, juga daripada material kayu, menjadi pilihan Nurul bagi ruang makan keluarga itu.
Bagi mengelak ruangan itu tampak terlalu polos, dinding bahagian meja makan dilatari sedikit corak tropika, menjadikan ruang itu mempunyai karakternya yang tersendiri.
Menjengah ke ruang dapur pula, rona putih dengan sedikit percikan warna hitam menjadi pilihan, sekali gus menyerlahkan pesona elegan pada ruangan itu.
“Bagi ruangan dapur, saya dan suami sepakat memilih untuk tidak memisahkan dapur kering dan dapur basah.
“Ia disekalikan sahaja memandangkan saya fikir, gaya hidup kami sekeluarga sebenarnya tidak memerlukan ruangan dapur itu dipisahkan kepada dua.
“Rona pilihan pada ruangan ini pula adalah rona natural seperti kelabu, putih dan juga hitam,” katanya.
Turut berkongsi hiasan dalaman bagi ruangan atas kediamannya, ruang menonton televisyen adalah antara ruang yang paling mencuri tumpuan, memandangkan ia bertemakan maskulin.
Jelas ibu kepada empat orang cahaya mata itu, ruangan menonton televisyen di bahagian atas itu didominasi oleh warna kelabu menerusi pemilihan sofa dan juga permaidani.
Jika dilihat, ruangan tersebut tampil lebih elegan dan sedikit maskulin memandangkan ia didominasi oleh suami dan anak lelakinya.
“Ruangan keluarga bahagian atas ini sering digunakan suami dan anak lelaki saya, maka oleh sebab itu, elemen maskulin itu diterapkan di sini.
“Malah, ruangan tersebut juga merupakan ruangan mereka anak-beranak untuk menghabiskan masa bermain permainan video,” ujar Nurul lagi.