fbpx

Misi buru pingat Sukan Asia Hangzhou bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELUMBA berbasikal trek, Shah Firdaus Sahrom dan pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari membawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia pada majlis perasmian pembukaan temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Olimpik Hangzhou. - BERNAMA

KUALA LUMPUR – Temasya sukan paling berprestij di Asia, Sukan Asia 2022 akhirnya membuka tirai secara rasmi dalam acara pembukaan gilang-gemilang di Stadium Olimpik Hangzhou, China sebentar tadi.

Difahamkan, stadium yang dapat memuatkan 80,000 penonton itu hampir tidak ada ruang kosong kerana mereka mahu menyaksikan sendiri pembukaan Sukan Asia 2022 yang disempurnakan Presiden negara itu, Xi Jinping.

Selain dihiasai percikan bunga api, acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian serta tarian kebudayaan negara Tembok Besar berkenaan berlatarbelakangkan teknologi 3D.

Menerusi acara tersebut, ia turut menandakan bahawa bermulanya misi barisan atlet negara bagi memburu sasaran 27 pingat keseluruhan yang diletakkan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt.

Pada acara itu juga, kontinjen Malaysia yang diwakili seramai 50 orang terdiri daripada 28 atlet serta 22 pegawai berarak masuk ke stadium dipimpin jaguh berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan pemain skuasy wanita, S. Sivasangari selaku pembawa Jalur Gemilang.

Barisan atlet negara yang mengenakan jaket berwarna ‘navy blue’ dan berseluar putih kelihatan segak mengatur langkah memasuki stadium selain sebagai simbolik kepada cita-cita serta keazaman Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Justeru, diharapkan kesemua atlet negara yang menggalas misi pada temasya sukan tersebut dapat memberikan segala-galanya dalam usaha mencapai sasaran 27 pingat keseluruhan tidak mengira warna.

Untuk rekod, pada edisi 2018 yang berlangsung di Jakarta-Palembang, Indonesia, Malaysia membawa pulang 36 pingat keseluruhan yang terdiri daripada tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI