JAKARTA – Seorang lelaki tular di media sosial Indonesia selepas berkongsi pengalaman menurunkan berat badan sebanyak 43 kilogram dalam masa cuma setahun, lapor laman berita Detik hari ini.
Fajar Santoso dari Bali, menurunkan berat badan daripada 131 kilogram kepada 88 kilogram setelah mengamalkan beberapa kaedah seperti berpuasa.
“Saya cuba cari diet yang sesuai dan betul. Akhirnya saya menemui kaedah diet berpuasa selang-seli.
“Selain itu, saya suka bersenam selepas bangun pagi. Saya hanya berjalan kerana ketika itu masih obes dan tidak boleh berjoging,” katanya.
Pada bulan pertama, Fajar akan berjalan selama 30 minit, namun selepas rutin itu menjadi kebiasaan, dia mampu melakukan senaman jalan kaki konsisten selama 45 minit.
Pada sebelah petang pula, Fajar akan melakukan senamrobik di rumah.
“Sasaran saya adalah untuk memiliki berat ideal 70 hingga 73 kilogram. Sekarang, berat saya masih 88 kilogram,” tambahnya.
Fajar turut berkongsi beberapa tips untuk menurunkan berat badan secara konsisten.
Antaranya adalah mempunyai keazaman yang kuat dan tidak perlu menetapkan sasaran pada setiap bulan, manakala diet akan menjadi konsisten apabila sesuai dengan badan. – Agensi