BALING – Seorang pemilik kedai runcit di Kampung Charuk Akar, Mukim Tawar, terpaksa melelong beras jualannya dengan harga yang murah apabila terkena banjir yang telah memasuki kedai runcitnya kelmarin.
Muhamad Amirul Hafis, 30, berkata, hujan seharian sejak pagi hingga ke malam menyebabkan air Sungai Tawar yang berhampiran kedainya melimpah dan memasuki kedainya.
“Pertama kali air sungai melimpah dan masuk ke dalam kedai, sebelum ini tidak pernah berlaku dan kami tidak menyangka perkara ini boleh berlaku. Ketika kejadian kami tiada di kedai.
“Habis semua barang jualan seperti beras, gula, telur, tepung, garam, barangan elektronik dan sebagainya yang berada di atas lantai kedai basah dan rosak, pagi tadi (semalam) saya terpaksa melelongnya kepada orang kampung untuk elak kerugian yang lebih teruk,” kata Mohamad Amirul.
Menurutnya, ketika sampai ke kedai sekitar pukul 10 malam, dia melihat air sungai yang berada di hadapan kedainya laju memasuki kedainya, lalu cuba membuka pintu kedai untuk menyelamatkan barangan jualannya.
Ketika itu, air banjir sudah paras lutut, kebanyakan barangan jualan telah dimasuki air dan mereka cuba menyelamatkannya dengan meletakkannya di tempat yang tinggi.
“Sebanyak 10 bungkus beras seberat lima kilogram yang terjejas sedikit dengan air banjir, saya jual dengan harga RM10 sahaja daripada harga asalnya RM20, yang rosak teruk saya lelong bagi dekat orang kampung untuk makanan ayam.
“Sebanyak 50 bungkus gula pasir yang beratnya setiap sebungkus satu kilogram terpaksa dibuang ke sungai kerana tidak boleh digunakan lagi kerana tercemar dengan air sungai yang keruh,” katanya.
Katanya lagi, keadaan cuaca tidak begitu baik dan dia harus berjaga-jaga sekiranya berlaku lagi banjir yang boleh merosakkan barangan jualan dalam kedainya.