fbpx

Jualan Rahmah: 1000 kg beras import habis tak sampai sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ARIL sempat membeli empat kampit beras import yang dijual bersempena program Jualan Rahmah di pasar raya Target di IOI Kulai, Kulai hari ini

KULAI – Seorang peniaga warung sanggup menunggu sejak pukul 8.30 pagi di luar pasar raya di Bandar Putra, di sini bagi mendapatkan beras import yang dijual pada harga yang lebih rendah pada program Jualan Rahmah.

Mohd. Aril Abdullah, 38, berkata, usaha itu amat berbaloi apabila dapat membeli empat kampit beras 5 kilogram (kg) pada harga RM14.99 bagi setiap kampit.

“Ketika saya sampai di pekarangan pasar raya itu, sudah ramai yang menunggu sebelum pasar raya dibuka. Memandangkan beras putih tempatan sukar ditemui di pasaran, ini adalah langkah yang baik oleh pihak kerajaan.

“Harga yang diletakkan juga berbaloi iaitu RM14.99 bagi setiap kampit berbanding harga sebenar RM20.89,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Target IOI Mall, di sini hari ini.

Katanya, dia membelanjakan sehingga lebih RM500 bagi memberi barangan keperluan lain seperti bawang, cili kering, minyak masak peket bersubsidi, sekotak susu pekat dan sebagainya.

“Walaupun harga beras sudah meningkat dan beras putih tempatan sukar diperolehi, saya tidak menaikkan harga jualan dan masih jual nasi putih pada harga RM2 sepinggan, kalau pelanggan ambil nasi lebih pun saya tak naikkan harga,” ujarnya.

Hasil tinjauan yang dilakukan di pasar raya itu mendapati sebanyak 1000 kg beras import yang dijual dalam program Jualan Rahmah itu habis dijual bagi tempoh kurang sejam.

Semalam, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali dilaporkan berkata, pihaknya akan mengadakan jualan beras import di setiap program Jualan Rahmah melibatkan 13 lokasi di seluruh negara, bermula hari ini.

Sementara itu, seorang pembeli, Hidayu Azman, 34, berkata, jualan ini dapat menjimatkan perbelanjaan dapur, malah harga yang ditawarkan jauh lebih murah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI