KUALA LUMPUR – Seramai 34 warga asing ditahan dalam serbuan sebuah kelab malam di Jalan Pudu Ulu, Kuala Lumpur selepas digempur Jabatan Imigresen (JIM), malam tadi.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin berkata, sejumlah 38 orang telah diperiksa dalam serbuan yang dibuat kira-kira pukul 11.10 malam itu.
Menurutnya, ia merupakan serbuan kedua dilakukan di premis sama dan antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada pengenalan diri, salah guna pas serta tinggal lebih masa.
“Tangkapan terdiri daripada 15 lelaki dan 19 wanita membabitkan 14 warga Bangladesh, Myanmar (1), Thailand (18), seorang warga Laos.
“Ada juga warga tempatan cuma mereka hanya dikenakan saman sebagai saksi dan diminta hadir ke pejabat JIM untuk beri keterangan,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi serbuan, di sini.
Syamsul berkata, operasi yang dijalankan melibatkan kekuatan seramai 40 anggota JIM Kuala Lumpur selepas melakukan risikan selama 14 hari susulan aduan orang awam tentang kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di lokasi berkenaan.
Jelas beliau, ketika serbuan dilakukan, ada di antara tahanan yang cuba meloloskan diri atau menyorok dan pemeriksaan mendapati kelab tersebut turut menyediakan tempat-tempat persembunyian.
Mengulas lanjut Syamsul berkata, tahanan lelaki majoriti bekerja sebagai pelayan tender manakala wanita sebagai pelayan pelanggan (GRO) atau membuat persembahan di premis berkenaan.
“Tadi kita juga jumpa selempang yang dipercayai biasa digunakan untuk menetapkan bayaran kepada GRO-GRO tersebut, memang kita jumpa banyak tadi.
“Cuma ketika serbuan kita tak dapat (tangkap) yang sedang pakai sebab kita datang awal dan mungkin aktiviti itu belum dimulakan,” jelasnya.
Mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002). – KOSMO! ONLINE