PETALING JAYA – Seorang guru wanita meluahkan rasa kesal terhadap penganjuran pertandingan pakaian beragam melibatkan murid di sekolah sewaktu Hari Kemerdekaan yang didakwa dipertikaikan oleh segelintir pihak.
Menerusi luahan tersebut, guru itu memuat naik hantaran tidak mahu lagi terlibat sebagai penyelaras penganjuran bulan kemerdekaan memandangkan pelbagai pertikaian didakwa diterimanya termasuk hal berkaitan hadiah.
“Tahun depan kalau masih kena jadi penyelaras bulan kemerdekaan ni, memang saya takkan lagi buat pertandingan pakaian beragam.
“Pertandingan-pertandingan yang mendatangkan pertikaian pun saya tak nak buat juga. Dah lah tak mudah menguruskan, pertikai pula bab hadiah, bab pemilihan, bab berbaloi tak berbaloi.
“Setiap pertandingan dah lah percuma, bajet ‘ciput’, nak minta tajaan tak dilayan. Keluarkan lagi belanja poket sendiri. Kita buat aktiviti-aktiviti mudah-mudah saja, tak perlu ada pertandingan. Hanya untuk seronok,” katanya pada hantaran Facebook.
Dia turut mencadangkan, aktiviti yang diadakan kelak seharusnya yang tidak membebankan ibu bapa serta guru.
“Contoh aktiviti kutip sampah, aktiviti jalan itik, aktiviti kutip otak yang jatuh bersepah atau aktiviti halau lalat (secara berseloroh). OK ke ok sangat,” katanya.
Dalam masa sama, hantaran itu juga seolah-olah memberi gambaran terhadap beberapa situasi yang tular berhubung ibu bapa mempertikaikan anak mereka tidak memenangi pertandingan pakaian beragam di sekolah.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersetuju selain bersimpati dengan situasi yang dilalui guru tersebut.
“Kasihan tengok cikgu-cikgu yang urus bab ni. Saya banyak dapat sekolah nak pelamin, tapi bajet tak masuk akal. Tapi mana saya boleh tolong, saya tolong saja. Kalau macam rugi, saya ‘reject’,” komen seorang pengguna Facebook.
“Saya sebagai ibu pun rasa tak setuju dengan pakaian beragam, kadang membebankan ibu bapa. Yang mampu tak apa. Yang tak mampu tu kasihan, kadang anak meminta-minta. Kadang smpai bergaduh-gaduh. Banyak lagi aktiviti bermoral untuk jadikan pengalaman dan cungkil bakat,” kata seorang wanita. – KOSMO! ONLINE