JOHOR BAHRU – Nasihat kakak ipar supaya menyimpan di MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) membawa tuah kepada seorang bekas pembekal buku apabila membawa pulang kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah, Mercedes-Benz GLC 300 AMG.
Lai Thong Fat, 67, yang memulakan simpanan modal sebanyak RM10,000 diumumkan sebagai pemenang hadiah utama kempen Simpan Berganda Menang Bergaya (SBMB) 2.0 CASA-i hari ini.
Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, ketika menerima panggilan pada 28 Julai lalu daripada pihak bank, dia menyangkakan panggilan itu daripada scammer.
“Ketika menerima panggilan saya ingat yang menefon itu adalah scammer. Saya terus bercakap akan mengunjungi cawangan bank terdekat untuk membuat pengesahan.
“Selepas dapat pengesahan saya ingat bagaikan mimpi apabila diumumkan memenangi hadiah utama kereta mewah bernilai RM400,000,” katanya.
Thong Fat antara 12 peserta yang diumumkan sebagai pemenang pada majlis penyampaian hadian kempen SBMB 2.0 CASA-i di Mydin Mall, Mutiara Rini di sini hari ini.
Thong Fat berkata, dia memulakan simpanan minimum berjumlah RM10,000 selepas mendengar nasihat kakak iparnya empat tahun lalu sekali gus layak untuk menyertai SBMB 2.0 CASA-i.
Katanya, ketika itu dia membuat perbandingan faedah simpanan dengan bank-bank lain sebelum mendapati MBSB Bank adalah terbaik dengan kadar yang tinggi.
Sementara itu, Ketua Saluran Pengagihan Cawangan MBSB Bank, Mohd. Izham Ahmad berkata, kempen SBMB 2.0 CASA-i. membuka peluang kepada MBSB Bank meraikan kesetiaan serta kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan menerusi hadiah-hadiah mewah dan menarik.
“Kempen SBMB 2.0 mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 70,000 pelanggan membuka akaun baharu seluruh negara.
“Peserta hanya perlu membuka Akaun Simpanan atau Akaun Semasa Primewin-i dengan deposit minimum sebanyak RM100 untuk melayakkan diri memenangi cabutan bertuah,” ujarnya.
Kempen SBMB 2.0 yang bermula pada 1 September 2022 dan berakhir pada 31 Mei lalu mempunyai lapan kategori cabutan iaitu, bulanan, suku tahunan, digital, simpanan baharu, kesetiaan, serantau, khas dan hadiah utama.
Mohd. Izham berkata, sebagai menghargai kesetiaan pelanggan, MBSB Bank merancang untuk meneruskan kempen SBMB 3.0 pada masa hadapan dengan tawaran hadiah-hadiah yang lebih lumayan. – KOSMO! ONLINE