KUALA LUMPUR – Tiga mayat ditemui dalam keadaan mengaibkan selepas polis menerima panggilan berhubung pergaduhan di sebuah rumah kedai, di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, di sini, malam tadi.
Lebih memilukan, ketiga-tiga mayat itu diletakkan dalam keadaan bertindan, diikat kaki dan tangan, manakala kepala mereka ditutup dengan plastik. Salah satu mayat itu ditemui dalam keadaan bogel.
Difahamkan, pasangan suami isteri yang menetap di rumah itu tidak menyangka anak mereka antara yang ditemui mati dipercayai dibunuh.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam selepas terdengar bunyi pergaduhan di kediaman tersebut pada pukul 11 malam tadi.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian pihaknya mendapati ada sepasang warga Sri Lanka berada di rumah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut di bilik stor menemui mayat tiga lelaki warga Sri Lanka berusia dalam lingkungan 20-an ke 30-an.
“Mayat itu ditemui dalam keadaan kaki dan tangan terikat, kepala disarung dengan plastik dan ditindan antara satu sama lain.
“Salah satu mayat itu merupakan anak pasangan warga asing tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.
Sejurus menerima maklumat berkenaan, sepasukan polis terdiri daripada unit forensik dan beberapa pasukan lain digerakkan untuk memulakan siasatan.
Tangkapan pertama dibuat melibatkan pasangan suami isteri tersebut dan mengesan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua lelaki dari Klang itu hanya dikenali pasangan tersebut sejak enam bulan lalu. Mereka menetap selama dua hari sebelum melarikan diri pada hari kejadian.
“Motif kejadian masih belum dikenal pasti. Kesemua mayat telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat,” katanya.
Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, rampasan yang dibuat adalah sebilah pisau yang dipercayai digunakan kerana terdapat kesan kelar pada tubuh mangsa.
Menurut Allaudeen, pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Jumaat hadapan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.