fbpx

4 anak artis ‘tak mati dek keji’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENJADI anak artis membuka ruang wajah-wajah comel ini menjadi perhatian netizen.

BERGELAR selebriti sememangnya punya timbal balik yang tidak selalu menyenangkan, terutama membabitkan penerimaan ramai. Tidak semua orang menyukai seseorang artis sehingga kadangkala insan terdekat menjadi mangsa.

Seperti ada sahaja yang tidak kena, netizen seolah-olah sedaya upaya mengorek segenap ruang privasi selebriti demi mencari modal kecaman baik untuk artis itu sendiri mahupun, keluarga, termasuklah anak kecil yang tidak berdosa.

Tak hidup dek puji, tak mati dek keji. Gala minggu ini menyenaraikan beberapa orang anak selebriti tanah air yang terkena tempias kecaman netizen sejak dari awal kelahiran mereka.

Muhammad Bilal

KELAHIRAN Muhammad Bilal sememangnya dinantikan khalayak, terutama peminat fanatik pengacara dan usahawan sensasi Neelofa yang sudah sekian lama ingin melihat wajah anak idola pujaan mereka itu.

Bagaimanapun, baik Neelofa mahupun suami, Haris Ismail, awalnya mereka mengambil pendekatan tidak mendedahkan wajah Bilal yang lahir pada 29 Januari 2022 lalu atas sebab tertentu.

Lagi disorok lagi dicari, hanya kerana Bilal anak Neelofa, khalayak berlumba-lumba mahu ingin menjadi yang pertama melihat wajah si comel itu sehingga tergamak menyunting gambar anak kecil itu sehingga dijadikan bahan jenaka.

Sebagai wanita yang pertama kali bergelar ibu ketika itu, Neelofa mengakui kecewa dan terkilan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan wajah Bilal yang sudah disunting sehingga anak kecil itu dihambur kata nista yang tidak sepatutnya.

Susulan itu, bekas pengacara MeleTOP itu mengambil kata putus untuk mendedahkan wajah anaknya sekali gus menutup mulut-mulut jahat netizen yang mengatakan Neelofa menyorok wajah anak kerana bayinya tidak comel.

Mohamed Neqayl

ANAK kepada pelakon Nora Danish dan suami Nedim Nazri iaitu Neqayl juga pernah menjadi mangsa cacian netizen sejak dari awal kelahiran sehingga membuatkan aktres jelita itu menitiskan air mata.

Siapa tidak sedih apabila anak yang baru berusia lebih sebulan ketika itu menjadi mangsa hinaan dalam media sosial yang rata-ratanya bercakap mengenai rupa paras bayi aktres itu yang tidak secomel anak artis lain.

Kerap menangis apabila membaca komen melampau dilemparkan kepada anaknya, Nora mengakui kecewa dengan netizen yang sesuka hati menghina ciptaan Tuhan.

Mujurlah ada suami menasihatkannya agar kebal berdepan komen negatif netizen yang pada akhirnya hanya ingin melihat hati mereka berdua terluka. Hari ini, Neqayl ternyata tumbuh menjadi anak yang comel dan cerdas.

Aaisyah Dhia Rana

MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, itu perumpamaan tepat buat anak perempuan tunggal pelakon Rozita Che Wan, Aaisyah Dhia Rana. Sejak dilahirkan Aaisyhah menjadi perhatian kerana dikatakan ‘menurun’ ibunya yang suka bergaya dan mengenakan alat solek meskipun baru berusia sembilan tahun.

Dalam jutaan netizen memuji kecantikan Aaisyah yang persis anak patung, terselit juga segelintir individu lantang mengkritik cara didikan Che Ta membiarkan anak berpakaian persis orang dewasa pada usia yang masih muda.

Lebih teruk, ada yang mendakwa Che Ta sengaja membiarkan anaknya berpakaian sedemikian kerana ingin melawan populariti anak selebriti lain.

Tidak terhenti di situ, Aaisyah dihujani komen netizen yang menyifatkan anak kecil itu dewasa sebelum usia, selain menegur Che Ta supaya membiarkan Aaisyah menikmati zaman kanak-kanak tanpa perlu sarat solekan seperti orang dewasa.

Malah baru-baru ini, ada insan dalam industri seni melabelkan Aaisyah dengan perkataan yang tidak sepatutnya meskipun anak kecil itu hanya melakukan apa yang disukai.

Lara Alana

KHALAYAK tahu puteri sulung pasangan selebriti popular Awal Ashaari dan Scha Al Yahya, Lara Alana mempunyai pengaruh serta peminatnya tersendiri. Lihat sahajalah akaun Instagram Lara yang mempunyai jutaan pengikut.

Memilih meletakkan Lara ke mata netizen sejak awal kelahiran, positif mahupun negatif semuanya harus sedia diterima.

Bayangkan, ketika Lara berusia tiga tahun, pelbagai kata nista dilemparkan kepadanya termasuk tentang rupa paras yang dikatakan tidak comel. Lebih teruk terdapat individu mendakwa anak pasangan sensasi itu seperti menghidap penyakit Sindrom Down.

Ditambah pula dengan proses pertuturan Lara yang sedikit lambat berbanding kanak-kanak lain, pelbagai spekulasi tidak berasas telah dilemparkan netizen kepada anak kecil yang baru hendak mengenal dunia itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI