WALAUPUN tidak diletakkan sasaran spesifik pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 yang akan membuka tirainya 23 September ini, namun ia bukanlah tiket untuk barisan atlet untuk menampilkan aksi sambil lewa.
Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nur Azmi Ahmad menegaskan, kesemua atlet yang menggalas cabaran negara pada temasya kali ini bukanlah pergi sekadar ‘goyang kaki’ ataupun ‘makan angin’.
Sebaliknya, beliau berkata, setiap atlet ada menggalas misi tersendiri dan sedia untuk melakukan segala-galanya dalam usaha mereka menghadirkan kilauan pingat buat kontinjen Malaysia di sana nanti.
“Saya ulang balik kenyataan-kenyataan sebelum ini yang mengatakan atlet-atlet pergi bercuti. Sebenarnya, setiap kali pergi ke mana-mana kejohanan, sudah tentu ada sasaran-sasaran yang kita perlukan.
“Sama ada sasaran tersebut boleh dapat ataupun tidak, itu bergantung pada prestasi atlet pada hari pertandingan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.
Pada majlis tersebut, sebanyak 30 buah kereta dilepaskan melibatkan 89 orang atlet daripada lapan jenis sukan termasuk hoki, renang, e-Sukan, sepak takraw, menembak, wushu, ragbi dan taekwondo.
Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) menaruh sepenuh kepercayaan terhadap keupayaan atlet-atlet bagi mendapatkan pingat tanpa mengira sebarang warna.
Terdahulu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia, Datuk Chong Kim Fatt mengumumkan sasaran keseluruhan 27 pingat tanpa mengira warna pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
Pada edisi 2018 yang berlangsung di Jakarta-Palembang, kontinjen Malaysia membawa pulang 36 pingat keseluruhan yang terdiri daripada 7 pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa.