PETALING JAYA – Polis menahan seorang penghantar makanan dipercayai terbabit kes khianat dan ugut di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, lelaki yang berusia 45 tahun itu ditahan di Ukay Perdana pada pukul 1.45 pagi.
“Pada pukul 2.03 petang, Rabu lalu, seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun yang juga pengarah syarikat sedang memandu di MRR2.
“Suspek yang membonceng motosikal mengarahkan pengadu berhenti dengan cara menunjukkan isyarat tangan serta menghalang laluan.
“Penunggang motosikal juga mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadu dan bertindak memukul pintu kenderaan sebelah penumpang dengan topi keledar yang dipakai,” katanya menerusi satu kenyataan.
Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca apabila suspek mendakwa pengadu telah menghimpit motosikalnya semasa laluan keluar dari simpang ke jalan utama.
“Semakan mendapati suspek memiliki rekod jenayah. Sebuah motosikal dan topi keledar turut dirampas,” katanya
Lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun sama. – KOSMO! ONLINE