SHAH ALAM – Impian seorang wanita menjalani kehidupan tenang selepas bersara bertukar sebaliknya apabila dikejutkan dengan beban hutang sebanyak RM17,000, bulan lalu.
Semuanya gara-gara apabila kad kreditnya yang telah tamat tempoh dua tahun lalu digunakan pihak ketiga untuk berjoli sakan.
Lebih mengejutkan, suspek itu pernah membelanjakan sehingga RM4,000 di salah sebuah kios
stesen minyak.
Bekas penolong pengurus latihan sumber manusia sebuah syarikat swasta yang mahu dikenali Asmah, 65, berkata, dia bingung apabila kad kredit yang telah luput pada 21 Julai 2021 digunakan sewenang-wenangnya tanpa kerelaan dirinya.
Katanya, dia yang telah menggunakan kad kredit sejak 20 tahun lalu tidak pernah memperbaharui kad tersebut selepas tamat luput dua tahun lalu.
“Saya terkejut apabila menerima panggilan telefon sebelum disusuli surat peguam sebuah bank tempatan bulan lalu agar segera membayar hutang itu.
“Pelik kad kredit yang berada di beg dompet saya setiap masa dan tidak diperbaharui boleh digunakan dengan mudah. Bukan RM17 sebaliknya RM17,000 dibelanjakan hingga saya terpaksa tanggung hutang ini,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM).
Ujar nenek tujuh cucu itu, berdasarkan salinan kenyataan kad kredit itu didapati perbelanjaan itu dilakukan sepanjang Mei hingga Disember tahun lalu.
Katanya, rata-rata perbelanjaan dibuat pihak ketiga itu melibatkan tambah nilai e-wallet
dan pembelian di aplikasi e-dagang.
“Saya hairan dengan ada satu masa pihak bank memaklumkan penggunaan sehingga RM4,000 di sebuah kios stesen minyak.
“Lebih pelik, had kad kredit saya RM15,000 namun pihak ketiga belanja hingga RM17,000. Tiada juga sebarang pemakluman transaksi yang biasanya dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sekiranya babit nilai besar.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan 4PM, Rosland Mohd. Arif menegaskan hanya orang dalam mempunyai kuasa mengaktifkan semula termasuk kad kredit yang telah tamat luput.
“Secara purata, 4PM menerima hampir 100 kes sebulan babit kepincangan bank daripada orang ramai yang hadir membuat aduan di pejabat ini,” katanya.