KANGAR – Tonggak berpengalaman Perlis, Amiril Mukminin Amizan bertekad membantu pasukannya merealisasikan impian ke separuh akhir kejohanan ragbi Piala Agong 2023.
Bintang skuad kebangsaan berusia 27 tahun itu meluahkan keyakinannya berdasarkan keserasian ditunjukkan para pemain tempatan serta tiga import dari Fiji, Alivereti Veitokan, Josefa Tamata Naliyaliy dan Sailosi Nabalagi.
Ia sekali gus memberi petanda positif buat Perlis untuk memulakan aksi pembuka tirai Kumpulan C menentang Melaka di Padang B, Kompleks Sukan Tunku Syed Putra di sini petang esok.
“Melaka adalah sebuah pasukan sedang meningkat dengan program pembangunan yang bagus. Kami tak ambil mudah sebab semua pasukan akan memberikan yang terbaik.
“Kalau boleh kami nak capai separuh akhir sebab tahun lepas kami dah pernah ke suku akhir. Ia tak mudah tetapi saya percaya dengan kehadiran pemain-pemain muda dan pengalaman rakan-rakan lain.
“Tiga import kali ini juga tak merisaukan kami sebab majoriti pemain dari Fiji menggunakan corak permainan yang sama. Malah, mereka turut memberikan tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda,” katanya.
Pemain yang mesra disapa dengan nama Cibong itu berkata demikian kepada Kosmo! selepas majlis serahan jersi rasmi dan sesi memperkenalkan para pemain Perlis di Majlis Sukan Negeri Perlis, Kompleks Tunku Syed Putra di sini hari ini.
Turut menjadi sandaran Perlis bagi saingan Piala Agong kali ini ialah seorang lagi tonggak kebangsaan, Mohammad Amin Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai Bonzer yang berazam akan memberikan tentangan sengit kepada semua pasukan.
Selain Melaka, Perlis turut menyasarkan kemenangan ke atas Kuala Lumpur bagi menebus kekalahan tahun lalu dalam aksi kedua Kumpulan C yang akan berlangsung di Tigre Arena RRIM, Shah Alam pada 30 September ini. – KOSMO! ONLINE