YAN – Kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang berjaya menemukan dua buah arca Buddha hampir lengkap dan prasasti (tulisan kuno atas batu) di Tapak Arkeologi Bukit Choras, di sini, baru-baru ini.
Penyelidikan ekskavasi arkeologi ini ditemukan kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Pensyarah Kanan PPAG USM, Dr. Nasha Rodziadi Khaw semasa melakukan kerja-kerja penyelidikan di tapak arkeologi tersebut.
Pesuruhjaya Warisan, Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, penyelidikan ekskavasi ini merupakan projek rintis dalam bidang penyelidikan dan pendidikan susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan Universiti Awam yang ditandatangani pada bulan Mac lalu.
Mohd Azmi berkata, tapak tersebut telah diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada 28 Disember 2016.
Menurutnya, tarikh awal yang dicadangkan bagi tapak arkeologi tersebut adalah sekitar abad ke-8 hingga ke-9 Masihi iaitu sezaman dengan kebanyakan tapak candi lain di Lembah Bujang dan perkembangan zaman Srivijaya.
“Penyelidikan fasa satu yang dilakukan pada 28 Ogos hingga 12 September lalu telah mendedahkan separuh daripada struktur keseluruhan candi utama.
“Sehingga 8 September lalu, ekskavasi ini telah berjaya mendedahkan struktur binaan candi yang jauh lebih besar dan lengkap dengan memperlihatkan separuh daripada bahagian dinding utara dan selatan serta keseluruhan dinding barat candi.
“Manakala bagi bahagian kaki candi memperlihatkan susunan bertangga serta memiliki orientasi yang bertepatan dengan arah mata angin,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Tapak Candi Bukit Choras, Yan, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE