PADANG BESAR – Seorang wanita warga emas hidup dalam ketakutan apabila rumah papan bantuan kerajaan yang didiaminya sejak hampir lima dekad lalu di Kampung Kubang Tiga, di sini semakin uzur.
Menurut Ei Kerai Endin Chan, 72, rumah tersebut yang pernah diduduki bersama mendiang suaminya, Endin Perom Thong itu juga mengalami banyak kerosakan akibat ribut.
“Saya kini tinggal bersendirian selepas suami meninggal dunia 20 tahun lalu.
“Rumah ini sudah beberapa kali dibaiki, namun bahagian bumbung rumah mudah rosak setiap kali angin kencang atau ribut melanda,” katanya.
Ceritanya, sebahagian ruang rumahnnya itu tidak dapat diduduki kerana kerosakan bumbung yang serius selain dibimbangi berlaku litar pintas akibat pendawaian elektrik yang uzur.
Kata Ei Kerai, dia mempunyai empat anak lelaki, namun seorang telah meninggal dunia, manakala tiga lagi masing-masing bekerja sebagai petani, pekerja kuari dan tanam sayur.
“Mereka pun perlu menyara keluarga masing-masing tetapi anak-anak tidak pernah lupa untuk datang menghantar makanan kepada saya.
“Saya masih bekerja mengambil upah menoreh getah di kebun milik orang dengan pendapatan tidak menentu kira-kira RM500 sebulan,” jelasnya.
Tambahnya, dia tidak memperoleh bantuan daripada mana-mana pihak secara berkala, hanya kadang kala menerima bantuan bakul makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sahaja.
“Saya berharap ada individu atau agensi kerajaan tampil membantu membaiki rumah ini yang menyimpan banyak kenangan bersama mendiang suaminya,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu Ei Kerai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank milik anaknya lelakinya, Sunan Perom (159012915108) atau terus menghubunginya di talian 0111-1464 119.