PUTRAJAYA – Ibu kepada usahawan selebriti Noor Nabila, Datin Noor Kartini enggan mencampuri urusan rumah tangga anak-anaknya yang disifatkan sudah cukup matang melayari kehidupan berkeluarga.
Katanya, urusan dimaksudkan termasuklah spekulasi keretakan perkahwinan puterinya dengan suami, Engku Emran yang kembali hangat diperkatakan susulan tiada lagi gambar berdua pasangan itu dalam Instagram.
Malah ibu kepada sembilan cahaya mata itu turut meminta segala kemusykilan berkenaan status terkini Noor Nabila ditanyakan sendiri kepada tuan punya badan.
“Dia (Nabila) sudah berkeluarga, dah dewasa dan kalau nak tahu kena tanya dia sendiri.
“Kalau boleh urusan rumah tangga anak-anak saya enggan campur, tak nak tahu.
“Saya nak hidup bahagia dengan anak cucu saja. Bagi saya, mereka sempurna di mata, hati saya,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran koleksi Disney X Naelofar Princess, semalam.
Menurut Noor Kartini lagi, dia lebih mensyukuri nikmat kebahagiaan berkasih sayang bersama ahli keluarga terdekat.
“Tak ada apa lagi saya nak rungutkan sebab bukan ramai ibu-ibu luar sana yang bertuah, bernasib baik, beruntung.
“Allah bagi nikmat macam mana saya dapat kasih sayang dalam keluarga bersama anak-anak saya. Itu sudah cukup,” katanya.
Sekitar Februari lalu timbul desas-desus kononnya pasangan yang bernikah sejak Mac 2021 itu tidak lagi sebumbung, selain didakwa dalam proses untuk bercerai.
Bagaimanapun spekulasi tersebut reda seketika sehinggalah baru-baru ini kembali hangat berikutan tiada lagi gambar Noor Nabila dalam Instagram Emran
Kelibat lelaki berusia 48 tahun itu juga tidak kelihatan pada sambutan hari ulang tahun kelima anak tirinya, Jebat Jayden pada 30 Ogos lalu.
Sebelum bersama usahawan wanita berjaya itu, Emran pernah bergelar suami kepada aktres Erra Fazira serta pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella. – KOSMO! ONLINE