fbpx

Mayat sah Darvnrajh, ibu mahu tahu punca anak dibunuh kejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vathma sayu memegang gambar kenangan anaknya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Ria, Tampin semalam.

MELAKA – Selepas hampir se­minggu, mayat yang ditemui de­ngan 18 kesan tikaman dan lebih lima tulang patah serta retak di dalam semak di Ladang Gadek, Kemuning, Alor Gajah pada Sabtu lalu akhirnya disahkan sebagai R. Darvnrajh.

Pengesahan itu dibuat Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas ahli keluarga Darvnrajh, 24, menunjukkan keputusan sepadan dengan mayat berkenaan.

“Keputusan DNA menunjukkan ia sepadan dengan kes orang hilang di Tampin, Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita semalam.

Di Tampin, ibu mangsa, K. Vathma, 55, sehingga kini tertanya-tanya motif pembunuhan anak sulungnya yang selama ini tidak pernah mempunyai musuh atau mencetuskan sebarang masalah sejak di bangku sekolah.

Katanya, mereka sekeluarga mahukan keadilan buat anaknya itu.

“Ikutkan hari ini (semalam) anak sepatutnya sudah mula bekerja di Lapangan Terbang Changi, Singapura. Untuk ke sana sahaja, anak sanggup menjual motosikalnya dengan harga RM4,000 untuk menampung kos hidup di sana.

“Anak juga sudah meluahkan hajat untuk memberi wang bulanan kepada kami sebagai simpanan dan membeli kembali motosikal untuk kegunaan ­keluarga. Sekarang semuanya sudah berkecai,” ujarnya.

Pada Rabu lalu, Kosmo! me­laporkan, Vathma percaya mayat pemuda yang ditemui di dalam semak itu ialah anaknya walaupun belum mendapat keputusan padanan DNA.

Vathma mengesyaki anaknya dibunuh angkara duit RM4,000 yang diperoleh daripada jualan motosikal Yamaha 125Z untuk dibuat modal memulakan pencarian pekerjaan di Singapura.

Darvnrajh kali terakhir dilihat bersama rakan-rakannya sekitar awal pagi, 10 September lalu.

Berita berkaitan: Keluarga percaya Darvnrajh dibunuh, mayat dibakar rakan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI