PETALING JAYA – Suami kepada kakak selebriti popular Neelofa iaitu Noor Nabila menegur segelintir pihak yang memberikan komen dan pandangan ‘melampau’ susulan status rumah tangga mereka yang hangat diperkatakan pada masa ini.
Engku Emran Engku Zainal Abidin menerusi status terkini pada Instagramnya memaklumkan, dia tidak pernah memberikan maklum balas terhadap khabar angin serta gosip yang disifatkan sebagai murahan dan sampah.
“Saya rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk berkata sesuatu dengan niat menghindari fitnah daripada tidak terkawal. Selepas kata-kata saya ini, jika anda terus membuat andaian dan cerita-cerita nak menyedapkan selera nafsu anda, itu masalah anda yang perlu diselesaikan dengan Allah.
“Bagi saya, anda bukannya beri makan atas meja saya atau keluarga saya. Jadi pembohongan anda itu tidak layak untuk saya berikan perhatian,” katanya pada hantaran panjang tersebut hari ini.
Dalam pada itu, Engku Emran meminta supaya menjaga adab serta menghormati Noor Nabila dan dirinya, lebih-lebih lagi mereka masih mempunyai keluarga serta ibu bapa.
“Jangan kita komen seperti kita nampak sangat tidak bijak. Jangan kita komen seperti kita kenal sangat orang yang kita langsung tidak kenal. Jangan kita komen macam kita tidak akan ada ujian yang menanti. Jangan keluarkan kata-kata atau hasilkan cerita macam kita tak ada agama.
“Jaga adab dan hormati Nabila dan saya. Kami masih ada keluarga mak dan ayah. Jangan sebabkan kesakitan yang tak sepatutnya. Kami tidak pernah mengacau hidup sesiapa. Ini ujian untuk kami dan alhamdulillah, kami reda.
“Hormati ruang kecil kami walaupun ia tak sempurna. Kami sudah lalui tiga perkahwinan dan kami tahu apa yang kami mahukan untuk hidup. Malangnya, kami perlu teruskan ‘mencarinya’ di tempat lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Engku Emran mengakui perkahwinan adalah suatu perkara yang sukar.
“Yang mana pernah kahwin, kita tahu semua itu. Yang mana belum pernah kahwin, jangan sembang kuat sangat.
“Saya beritahu Nabila bahawa tiga perkahwinan ini bukan kegagalan. Ia sudah pun di dalam ‘skrip’ sebelum kita masuk ke ‘dunia’ tersebut.
“Ia suatu perjalanan yang tidak dapat kami elakkan yang perlu kita lalui untuk mencari-Nya (Allah), malah selagi kita mendekatkan diri kepada-Nya, itu sudah menjadi satu kejayaan besar,” jelasnya.
Mengakhiri coretan tersebut, Engku Emran sekali lagi meminta supaya semua pihak menghormati ruang yang ada selain memohon doa supaya Allah mempermudahkan urusan kedua-dua mereka.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Noor Nabila mengesahkan bakal bercerai dengan suami, Engku Emran dalam waktu terdekat.
Nabila atau nama sebenarnya, Noor Nabila Mohd. Noor dipetik berkata, dia nekad untuk tidak lagi memegang status sebagai isteri kepada Engku Emran. – KOSMO! ONLINE