KUALA TERENGGANU – Penampilan ke-14 pelumba berpengalaman negara, Mohd. Harrif Saleh menjelang perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 tampak mencabar apabila bakal ‘diekori’ rapat pelumba berpengalaman berstatus benua mahupun dunia seawal perlumbaan Peringkat 1 yang membuka tirai esok di Terengganu.
Kehadiran tiga pelumba yang kali pertama menyertai LTdL, George Jackson (Bolton Equities Black Spoke), Arvid de Kleijn (Tudor Pro Cycling Team) dan Enrico Zanoncello (Green Project-Bardiani CSF-Faizane) dilihat cuba untuk menghalang Harrif untuk mencipta kejutan di laman sendiri.
Bagaimanapun, Harrif yang bersaing bersama pasukan Terengganu Polygon Cycling (TSG) bertekad untuk memberikan terbaik sewaktu bersaing di laman sendiri kerana sepanjang perlumbaan di LTdL dia belum pernah menaiki podium di laman sendiri dan rekod terbaik adalah tempat keempat pada 2012.
“Kita lihat bagaimana perlumbaan tahun ini akan berlangsung, pasukan saya sekarang juga bertambah bagus termasuk termasuk Youcef Regugui dan Jeroen Meijers. Kami ingin buat terbaik kerana ini beraksi di Malaysia malah di negeri kelahiran saya pula.
“Saya cuba untuk melakukan sesuatu, kita lihat bagaimana perlumbaan ini berlangsung nanti,” kata Harrif yang juga antara pelumba terbaik negara dalam sejarah LTdL dengan merangkul tiga kejuaraan peringkat.
Sebagai rekod, Harrif menjadi pelumba paling banyak kali beraksi di LTdL dengan mengetepikan rekod lama 13 kali dipegang pelumba Iran, Ghader Mizbani, manakala dua bekas pelumba negara, Loh Sea Keong dan Anuar Manan menyertai sebanyak 12 kali.
LTDL 2023 bakal membuka saingan dari Kerteh ke Kuala Terengganu meliputi perlumbaan sejauh 187.4 kilometer (km) esok, sebelum peringkat kedua bermula dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2 km) Ahad ini. – KOSMO! ONLINE