RANAU – Hujan lebat berterusan lebih dua jam mengakibatkan beberapa gerai buah-buahan di Kilometer 137, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan di Kampung Nabutan rosak teruk ekoran limpahan air lumpur petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya yang menerima maklumat itu kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan dan pemantauan.
“Kerja-kerja pembersihan sudah dilaksanakan oleh pihak konsesi Jabatan Kerja Raya (JKR).
Pemantuan turut dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit susulan kejadian itu.
“Bagaimanapun, beberapa gerai di tepi jalan mengalami kerosakan akibat limpahan air lumpur,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan beberapa gerai buah-buahan rosak hingga buah yang dijual bertaburan dihanyutkan limpahan air lumpur.- KOSMO! ONLINE