fbpx

Darvnrajh dibunuh kerana dendam lama, enam rakan diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT Darvnrajh ditemui di dalam semak di tepi jalan Ladang Gadek, Kemuning, Melaka, 16 September lalu.

ALOR GAJAH – Enam individu diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan kejam seorang pemuda R. Darvnrajh, 24, yang mayatnya ditemui dengan 18 kesan tikaman di dalam semak di tepi jalan, Ladang Gadek, Kemuning dekat sini, 16 September lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, susulan penemuan mayat mangsa, satu operasi Op Kejam telah digerakkan melibatkan sepasukan pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) dan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Alor Gajah.

Ujarnya, kesemua suspek berusia 18 sehingga 24 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Tampin pada minggu lalu.

“Pada 20 September lalu kita telah memperoleh keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas pasangan ibu dan ayah kepada individu dilaporkan hilang di Tampin, Negeri Sembilan iaitu Darvnrajh dan mendapati ia sepadan dengan mayat ditemui.

“Ekoran daripada itu, polis telah menggerakkan Op Kejam dan berjaya memberkas enam individu yang merupakan rakan kepada si mati,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Siasatan polis juga mendapati punca mangsa dibunuh adalah kerana rasa tidak puas hati melibatkan dendam lama.

“Permohonan reman ke atas semua suspek telah dibuat dan dibenarkan sehingga 24 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan tanda tanya kehilangan seorang pemuda, R. Darvnrajh, yang tidak pulang ke rumahnya di Tampin, Negeri Sembilan sejak 10 September lalu terungkai dengan penemuan mayat dipercayai mangsa di dalam semak di kawasan di Kemuning.

Ibu mangsa, K. Vathma, 55, memberitahu, dia telah dimaklumkan oleh pihak polis mengenai penemuan mayat seorang lelaki di dalam semak dan dipercayai telah mati akibat dibunuh.

Hasil laporan bedah siasat mendapati mayat si mati mempunyai kesan tikaman sebanyak dua kali di leher, di dada (6), kaki kanan (4), tangan kiri (2), kaki kiri (3) dan satu di tangan kanan.

Selain itu, tulang kepala si mati juga retak pada bahagian sebelah kiri, dua tulang leher patah, tulang lengan tangan kanan patah, tulang lutut dan kaki patah, tulang rahang retak pada beberapa bahagian dan tiga kesan luka pada jantung.

Menurut Vathma, anak sulung daripada dua beradik itu tidak pulang ke rumah selepas keluar menonton wayang bersama-sama tiga rakannya di Melaka.

“Jika benar mayat pemuda itu anak saya, saya tak dapat bayangkan bagaimana dia menderita sebelum menemui ajal apabila dibunuh secara kejam dipukul dan ditikam tanpa belas kasihan.

“Apalah salah anak saya diperlakukan sedemikian. Dia anak yang baik, lembut dan tak pernah buat aniaya pada orang,” kata Vathma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI