PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-78 malam ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung PBB Ke-78 pada pukul 9.30 malam.
“Insya-Allah, pukul 9.30 malam ini waktu Malaysia (9.30 pagi waktu di New York), saya akan menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung PBB Ke-78.
“Saya akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim untuk mencapai Agenda 2030, pelan hala tuju negara di bawah rangka kerja Malaysia Madani serta beberapa lagi isu global,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, rakyat Malaysia boleh menyaksikan Kenyataan Negara itu secara langsung melalui saluran media tempatan dan Facebook live. – KOSMO! ONLINE