KOTA KINABALU – Adik-beradik yang ditemui rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan enam buah rumah di Kampung Pulutan, Manggatal di sini semalam tinggal bersendirian sewaktu kejadian.
Dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari itu, kedua-dua mangsa yang rentung dikenal pasti sebagai Jayraiyen Jabri, 5 dan Jackron, 6.
Mayat kedua-dua mangsa ditemui selepasapi berjaya dipadamkan pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, dua beradik tersebut ditemukan pada jarak berdekatan berhampiran ruang tamu.
“Kesemua mangsa tinggal bersama ibu bapa mereka di rumah berkenaan. Bagaimanapun, sewaktu kejadian, ibu mereka keluar bekerja manakala bapanya menghantar anak buahnya ke hospital untuk pemeriksaan.
“Kanak-kanak rentung yang berusia enam tahun dikatakan baru pulang dari sekolah, manakala adiknya memang berada di rumah sebelum kejadian. Mereka dipercayai terperangkap dan tidak dapat menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar anggota bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE