BANDAR RAYA HO CHI MINH, Vietnam – Penyanyi Vietnam, Dam Vinh Hung dan Vy Oanh yang mendakwa terjejas oleh ucapan pengusaha wanita, Nguyen Phuong Hang meminta dia memohon maaf semasa perbicaraan di sebuah mahkamah di Hanoi semalam, lapor portal berita VnExpress.
Hang yang merupakan Pengarah Syarikat Saham Dai Nam dibicarakan di Mahkamah Rakyat Bandar Raya Ho Chi Minh selepas ditangkap polis pada Mac tahun lalu kerana menyalahgunakan kebebasan demokrasi.
Dia dituduh menggunakan akaun media sosial berbeza untuk membuat dakwaan palsu terhadap beberapa selebriti dan menyebarkan maklumat berkaitan kehidupan peribadi mereka.
Dalam videonya, dia berkata, Hung tidak telus dalam mengagihkan wang yang dikumpulkan daripada orang lain dan Oanh pula didakwa memperoleh sejumlah besar wang selepas mempunyai anak dengan seorang lelaki kaya.
“Saya bersedia untuk menolak permintaan pampasan saya, asalkan Hang memohon maaf secara langsung kepada saya di mahkamah dan media,” kata Hung.
Senada, Oanh memberitahu, kata-kata Hang tentang dirinya adalah tidak berasas dan menyebabkan fizikal dan mentalnya terjejas.
“Sila jelaskan perkara yang berkaitan dengan saya dengan permohonan maaf jika boleh. Saya akan minta mahkamah mengurangkan hukuman Hang,” katanya, manakala perbicaraan kes tersebut ditangguhkan. – Agensi