BALING – Seramai 102 mangsa daripada 33 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dilanda banjir kilat pada malam tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, dua PPS iaitu Masjid Islahiyah Tawar dan Masjid Binjul Luar masing-masing dibuka pada pukul 11 malam dan 12 tengah malam tadi.
“Seramai 91 mangsa dipindahkan ke PPS Masjid Islahiyah Tawar manakala baki mangsa seramai 11 orang ditempatkan di Masjid Binjul Luar.
“Mangsa banjir yang dipindahkan melibatkan 62 individu dewasa, tiga bayi, 32 kanak-kanak dan lima warga emas,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, kata beliau, hujan lebat di sekitar Baling pada petang semalam menyebabkan air sungai melimpah ke tebing di Kampung Padang Empang dan Kampung Iboi.
“Hasil pemantauan APM di lapangan mendapati berlakunya banjir kilat di beberapa kampung. Air sungai naik terlalu cepat seterusnya menyebabkan rumah penduduk dimasuki air.
“Dua PPS dibuka dan tiada kemalangan jiwa berlaku,” ujarnya.
Tambahnya, mengikut ramalan, paras air sungai yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Stesen Sungai Ketil di Kampung Kuala Pegang Pulai menunjukkan ia melebihi paras bahaya sebanyak 36.19 meter setakat pukul 8 malam tadi.
Kosmo! malam tadi melaporkan sekurang-kurangnya sembilan kampung di daerah ini dilanda banjir akibat hujan lebat di kawasan tersebut pada petang semalam.
Kampung yang terjejas adalah Kampung Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Padang Setoi, Kampung Ulu Bakai, Kampung Seputeh, Kampung Malau, Kampung Lubuk Pedati, Kampung Binjul dan Kampung Sungai Tembak. – KOSMO! ONLINE