fbpx

Zaid, Muhyiddin jawab semua soalan rakaman keterangan – Shuhaily

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mengambil keterangan daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua soalan yang dikemukakan oleh pihaknya telah dijawab sepenuhnya kedua-dua pemimpin tersebut.

Katanya, keterangan Muhyiddin diambil di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di sini manakala Mohd Zaid hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Alhamdulillah, kerjasama yang diberikan oleh kedua-duanya adalah sangat baik dan pendekatan dibuat secara profesional.

“Kedua-duanya menunjukkan bahawa mereka bertanggungjawab dengan apa yang telah diperkatakan dan tidak lepas (menafikan) begitu sahaja.

“Pastinya ia memudahkan kerja kami untuk melakukan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Shuhaily, lima saksi telah dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin sebelum ini.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu didakwa menyatakan orang Melayu akan hilang kuasa ketika berceramah semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor, 3 September lalu.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily memaklumkan siasatan ke atas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah selesai apabila kesemua soalan telah dijawab oleh Ahli Parlimen Marang itu.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI