fbpx

Pulau Tenggol terkenal tetapi sayangnya tiada jeti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelancong terpaksa diturunkan di pesisir pantai ekoran ketiadaan jeti di Pulau Tenggol, Dungun.

DUNGUN – Pulau Tenggol, di sini terkenal dengan aktiviti selaman skuba, namun malangnya tiada kemudahan jeti bagi kegunaan pengunjung di pulau itu.

Ketiadaan jeti menyukarkan perkembangan industri pelancongan itu yang kini semakin terkenal dalam kalangan peminat aktiviti skuba tempatan dan antarabangsa.

Seorang pemandu bot, Mat Azmi Aminuddin, 46, berkata, pelancong sukar diturunkan untuk memasuki kawasan pulau terutama sewaktu air surut apabila tiada kemudahan tersebut.

Dia berkata, biasanya mereka terpaksa menurunkan penum­pang dengan menggunakan tangga khas di pesisir pantai.

“Begitupun, jika air surut, bot tidak dapat memasuki pesisir pantai dan pelancong terpaksa mengharung air laut sejauh kira-kira 100 meter untuk ke pulau.

“Ramai pelancong termasuk warga asing merungut, tetapi kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana jeti memang tidak disediakan,” katanya kepada Kosmo! di Pulau Tenggol, di sini baru-baru ini.

Seorang lagi pemandu bot, Mohd. Ezza Safuan Shah Mat Napi, 32, juga mengakui malu menghadapi rungutan pelancong setiap kali membawa mereka ke Pulau Tenggol.

“Sepatutnya Pulau Tenggol yang merupakan salah satu pulau peranginan terkenal Terengganu sudah lama memiliki jeti.

“Ketiadaan jeti ini juga memberi risiko kerosakan terhadap bot kami ekoran kemungkinan terlanggar beting pasir,” katanya.

Seorang pekerja resort, Mohd. Haikal Johari, 33, berkata, operasi tiga buah resort di pulau pe­ranginan tersebut terjejas akibat ketiadaan jeti tersebut.

“Majikan saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk memasang jeti pontoon berharga RM80,000, namun tidak stabil setiap kali dipukul ombak dan angin kencang.

“Sukar untuk membawa bahan mentah dan sekiranya berlaku kecemasan pada waktu air surut,” ujarnya.

Sehubungan itu, pemain industri pelancongan di pulau tersebut memohon agar kerajaan segera membina jeti di Pulau Tenggol ­untuk kemudahan semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI