fbpx

Polis sahkan mayat 18 kesan tikaman adalah Darvnrajh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
R. Darvnrajh ditemui dengan 18 kesan tikaman dan lebih lima tulang patah serta retak di dalam semak di tepi jalan, Ladang Gadek, Kemuning.

MELAKA – Polis hari ini mengesahkan mayat yang ditemui dengan 18 kesan tikaman dan lebih lima tulang patah serta retak di dalam semak di tepi jalan Ladang Gadek, Kemuning, dekat sini adalah R. Darvnrajh, 24.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas ahli keluarga Darvnrajh menunjukkan keputusan sepadan dengan mayat berkenaan.

“Keputusan DNA menunjukkan ia sepadan dengan kes orang hilang di Tampin, Negeri Sembilan,” katanya ringkas kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan tanda tanya kehilangan seorang pemuda, R. Darvnrajh, yang tidak pulang ke rumahnya di Tampin, Negeri Sembilan sejak 10 September lalu terungkai dengan penemuan mayat dipercayai mangsa di dalam semak di sebuah kawasan di Kemuning.

Ibu mangsa, K. Vathma, 55, memberitahu, dia telah dimaklumkan oleh pihak polis mengenai penemuan mayat seorang lelaki di dalam semak dan dipercayai telah mati akibat dibunuh.

Katanya, ahli keluarga bagaimanapun percaya mayat ditemui itu adalah anaknya meskipun pihak polis masih menunggu keputusan pengesahan identiti daripada pihak hospital.

Hasil laporan bedah siasat mendapati mayat si mati mempunyai kesan tikaman sebanyak dua kali di leher, di dada (6), kaki kanan (4), tangan kiri (2), kaki kiri (3) dan satu di tangan kanan.

Selain itu, tulang kepala si mati juga retak pada bahagian sebelah kiri, dua tulang leher patah, tulang lengan tangan kanan patah, tulang lutut dan kaki patah, tulang rahang retak pada beberapa bahagian dan tiga kesan luka pada jantung.

Menurut Vathma, anak sulung daripada dua beradik itu tidak pulang ke rumah selepas keluar menonton wayang bersama-sama tiga rakannya di Melaka.

“Jika benar mayat pemuda itu anak saya, tak dapat bayangkan bagaimana dia menderita sebelum menemui ajal apabila dibunuh secara kejam dipukul dan ditikam tanpa belas kasihan.

“Apalah salah anak saya diperlakukan sedemikian. Dia anak yang baik, lembut dan tak pernah buat aniaya pada orang,” katanya.

Dalam pada itu Zainol memberitahu, siasatan kes tersebut termasuk motif pembunuhan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI