TANJUNG MALIM – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang melaksanakan program pembiakan harimau Malaya melalui teknik permanian berhadas atau artificial insemination (AI) di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim NRECC, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, program tersebut merupakan usaha Perhilitan bagi meningkatkan populasi spesis yang kini berdepan ancaman kepupusan.
“Selain konservasi in-situ, NRECC menerusi Perhilitan melaksanakan usaha konservasi ex-situ iaitu melalui kaedah pembiakan Permanian Berhadas (AI) untuk harimau Malaya.
“Mungkin ada harimau yang tidak dapat membiak secara semula jadi, maka pihak Perhilitan membantu untuk kaedah AI ini dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke NWRC, di sini hari ini.
Keberangkatan Seri Paduka diiringi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mengulas lanjut beliau berkata, kaedah AI yang dijalankan ke atas spesis ikonik negara itu bagaimanapun masih belum berhasil, setakat ini.
“Teknik pembiakan ini bukan mudah, mungkin ada beberapa (kekangan) termasuk dari segi saiz, malah saya juga dimaklumkan ada penyakit tertentu yang dialami harimau yang menjejaskan kemampuan untuk membiak.
“Bagaimanapun, usaha ini terus menerus dilakukan sebab kita tahu teknologi berubah. Kita berharap suatu hari nanti seperti mana haiwan lain juga, harimau Malaya dapat kita biakkan secara AI,” katanya.
Menurut beliau, selain harimau Malaya, pihak kementerian turut mengambil perhatian berkenaan ancaman kepupusan spesis hidupan liar lain seperti gajah Asia, tapir, beruang matahari dan seladang.
Sehubungan itu katanya, Perhilitan mewujudkan pusat-pusat konservasi seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pusat Konservasi Harimau Malaya Lanchang di Pahang, Pusat Konservasi Tapir di Kenaboi, Negeri Sembilan, Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor, Pusat Konservasi Jenderak Selatan, Pahang dan NWRC di Sungkai.
“Kerajaan juga telah menubuhkan Malaysian Tiger Task Force (MyTTF) dan Ranjer Komuniti yang dianggotai veteran tentera, veteran polis, Orang Asli dan penduduk setempat bagi menghalang aktiviti pemburuan haram.
“Kesemua usaha itu sudah menunjukkan perubahan yang positif,” katanya. – KOSMO! ONLINE