PETALING JAYA – Rakyat Kelantan menjadi penduduk paling mesra jiran apabila mencatatkan kadar interaksi dengan jiran pada setiap hari adalah paling tinggi di Malaysia iaitu sebanyak 55.8 peratus daripada 14.8 juta responden.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, melalui Penerbitan Banci Malaysia 2020: Kesejahteraan Penduduk (Hubungan Sosial) yang dikeluarkan pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sejumlah 13.8 juta daripada 14.8 juta responden (93.5 peratus) terlibat dalam interaksi bersemuka dengan jiran dalam tempoh sebulan.
Manakala 958,808 orang (6.5 peratus) lagi tidak pernah mempunyai interaksi bersemuka.
Jelasnya, rakyat Malaysia mempunyai kejiranan yang lebih baik apabila 41.4 peratus terlibat dalam interaksi bersemuka dengan jiran setiap hari, 41.5 peratus sekurang-kurangnya sekali seminggu dan 10.6 peratus sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Namun begitu katanya, 6.5 peratus atau 0.96 juta daripada 13.8 juta responden mengaku tidak pernah berinteraksi dengan jiran dalam tempoh sebulan.
“Kadar interaksi dengan jiran pada setiap hari adalah lebih tinggi di negeri Kelantan (55.8 peratus), Sabah (54.7 peratus), Terengganu (52.8 peratus), Kedah (52.7 peratus), Sarawak (51.0 peratus) dan Perlis (50.4 peratus).
“Antara peratusan tertinggi untuk interaksi seminggu sekali dengan jiran adalah di Pulau Pinang (50.3 peratus), Melaka (47.6 peratus) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (47.2 peratus).
“Sementara itu, Pakan (98.0 peratus) dan Bukit Mabong (96.3 peratus) di Sarawak dan Tongod, Sabah (97.5 peratus) menonjol sebagai daerah yang paling mesra kerana kadar interaksi dengan jiran pada setiap hari yang tinggi,” jelasnya.
Terdahulu, penerbitan ini memaparkan statistik penduduk berumur 15 tahun dan lebih dalam empat segmen iaitu pengguna akaun media sosial; akses kepada internet; makan bersama dalam masa seminggu; dan interaksi bersemuka dengan jiran dalam tempoh sebulan.
Tambah Mohd. Uzir, golongan lelaki lebih ramai berinteraksi dengan jiran pada setiap hari berbanding wanita (3.11 juta), sekali seminggu (3.12 juta) dan sekali sebulan (0.8 juta).
Walau bagaimanapun, wanita (480,624) lebih ramai berbanding lelaki (478,184) bagi tiada interaksi dengan jiran dalam sebulan.
“Penduduk berumur 15 hingga 64 tahun berinteraksi dengan jiran sekurangkurangnya sekali seminggu (41.9 peratus) adalah paling ramai, manakala penduduk
berumur 65 tahun dan lebih kebanyakannya bertegur sapa setiap hari (46.7 peratus).
“Bumiputera (Melayu dan Bumiputera Lain) kebanyakannya berinteraksi dengan jiran setiap hari (47.7 peratus), manakala Cina (44.4 peratus) dan India (45.9 peratus) kebanyakannya berinteraksi sekurang-kurangnya sekali seminggu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE