PUTRAJAYA – Pembangunan Pangkalan Data Utama (Padu) kini sudah mencapai perkembangan 60 peratus sebelum sistem berkenaan boleh diakses oleh orang ramai bermula Januari 2024.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam proses menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini, pihaknya akan berusaha untuk menyiapkan sistem tersebut dalam tempoh masa tiga bulan lagi.
“Selepas kerajaan memutuskan untuk menubuhkan Padu pada Mei dan kemudian kita mulakan pembangunan (sistem) pada Jun, lebih kurang dua bulan kita berjaya capai 60 peratus.
“Sebenarnya ia mencabar untuk (sistem itu) mula digunakan pada Januari, tetapi dalam masa kira-kira dua bulan apa yang sepatutnya disiapkan sudah pun mencapai 60 peratus dan insya-Allah dalam masa tiga bulan akan datang kita akan dapat laksanakannya,” katanya selepas sesi libat urus Padu bersama Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Kementerian dan Agensi, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE