PETALING JAYA – Rakyat Sarawak menjadi penduduk paling ramai menikmati makanan bersama seisi keluarga di rumah apabila mencatatkan peratusan tertinggi bagi makan bersama lima hingga tujuh kali seminggu untuk sarapan pagi (76.4 peratus), makan tengah hari (72.0 peratus) dan kedua tertinggi untuk makan malam (86.0 peratus).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, melalui Penerbitan Banci Malaysia 2020: Kesejahteraan Penduduk (Hubungan Sosial) yang dikeluarkan pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah tersebut merangkumi 81.9 peratus atau 10.9 juta orang daripada 13.3 juta responden makan bersama semasa makan malam, manakala dua pertiga bersarapan (73.4 peratus) dan makan tengah hari (67.4 peratus) bersama-sama.
“Sarawak mencatatkan peratusan tertinggi bagi makan bersama lima hingga tujuh kali seminggu untuk sarapan pagi (76.4 peratus), makan tengah hari (72.0 peratus) dan kedua tertinggi untuk makan malam (86.0 peratus).
“Sementara itu, penduduk di Putrajaya paling kurang makan bersama sekali hingga dua kali seminggu semasa sarapan pagi (45.3 peratus), makan tengah hari (52 peratus) dan makan malam (18.8 peratus).
“Di peringkat daerah, Julau, Sarawak mencatatkan peratusan tertinggi makan bersama iaitu lima hingga tujuh kali seminggu untuk sarapan pagi (99.4 peratus), makan tengah hari (99.3 peratus) dan kedua tertinggi untuk makan malam (99.7 peratus),” jelasnya.
Dalam pada itu, secara umumnya, lebih ramai wanita makan bersama semasa makan malam (5.5 juta orang), sarapan pagi (4.9 juta orang), makan tengah hari
(4.6 juta orang), kudapan (1.1 juta orang) dan minum petang (1.4 juta orang).
Sebaliknya, lebih ramai lelaki makan bersama semasa makan lewat malam (398,234 orang). Makan malam bersama menjadi rutin paling popular di kalangan individu dari semua peringkat umur (15 tahun dan lebih) dan kumpulan etnik. – KOSMO! ONLINE.