PETALING JAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) hari ini memutuskan untuk menggunakan Stokpail Beras Negara bersama Stok Beras Semasa sekiranya situasi bekalan beras negara tidak dapat pulih dalam jangka masa terdekat.
Memaklumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat tersebut turut memutuskan untuk menggunakan Beras Putih Import (BPI) dijual dengan harga borong (RM3,200 per tan metrik).
Bagaimanapun katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi memastikan ketersediaan dan keberadaan beras tempatan antaranya Program Khas Beras Putih Tempatan.
“Dengan pelaksanaan ini terdapat unjuran tambahan Beras Putih Tempatan (BPT) sebulan sebanyak 23,000 tan metrik.
“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra ) juga telah dipertanggungjawabkan untuk membekalkan beras di kawasan yang mengalami gangguan dan melancarkan talian hotline bagi pengguna melaporkan isu dan masalah berkaitan bekalan serta penyelewengan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata bagi memastikan isu keberadaan beras tempatan di pasaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan menerusi Op Beras, OP Jamin dan OP Beras Putih Tempatan (OBPT) yang dimulakan sejak 7 Julai lalu.
Ujar beliau, bagi OP Jamin, KPDN dan KPKM telah menjalankan penguatkuasaan secara bersepadu sebanyak 37 siri pemeriksaan melibatkan 2,322 pemeriksaan ke atas premis kilang, borong dan runcit.
“Sebanyak 142 aduan telah diterima yang melibatkan isu bekalan, harga dan lain-lain dan diuruskan bersama kementerian berkaitan. Antara aduan yang banyak diterima adalah berkaitan jurang harga yang sangat tinggi antara BPT dan BPI.
“Ia menyebabkan peniaga dan pengusaha kedai makanan beralih kepada BPT sebagai pilihan beras yang murah menyebabkan bekalan BPT kurang di pasaran, lebih-lebih lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan,”katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya telah mengarahkan agar penguatkuasaan bersepadu melalui OP Jamin diteruskan dan kekurangan bekalan dapat diatasi segera serta dipulihkan.
Malah katanya, gerakan bersepadu rentas kementerian terus dilaksanakan khususnya jualan-jualan seperti Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan MyGrocer@Wilayah dapat diperluaskan di peringkat dewan undangan negeri (DUN) dan parlimen di setiap negeri.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memberitahu, harga pasaran dan bekalan ayam di Malaysia menunjukkan trend yang stabil di peringkat borong dan runcit ketika ini.
Kata beliau, keadaan itu berlaku selepas kerajaan membelanjakan anggaran RM3.772 bilion subsidi ayam dan telur ayam bagi memastikan bekalan dan harga kedua-dua barangan itu kekal stabil sejak tahun lalu.
“Walau bagaimanapun, saya mengarahkan KPKM agar jaminan terus diberikan bagi ketersediaan bekalan dan kestabilan harga ayam dan telur ayam di peringkat ladang bagi memastikan keberadaan telur ayam di peringkat borong dan runcit.
“KPDN juga akan memastikan kekerapan pemantauan penguatkuasaan terhadap harga dan bekalan sepanjang masa,” katanya.
Dalam usaha mengurangkan kos import makanan ayam, beliau mencadangkan agensi-agensi KKDW khususnya Lembaga Kemajuan Wilayah, untuk memulakan penanaman legume.
“Perkara ini telah saya bawa untuk perbincangan di Sabah dan Sarawak untuk penggunaan tanah negeri dan ia telah dipersetujui untuk wujud cadangan ‘smart partnership’ bersama KPKM bagi memastikan harga dan bekalan ayam sentiasa stabil. – KOSMO! ONLINE