fbpx

Mahkamah: Isteri, adik dihukum mati bunuh suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Angela (depan) dan Vijaya dibawa anggota polis selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Komplot pembunuhan kejam seorang wanita bersama adik lelaki terhadap suaminya yang juga orang kelainan upaya (OKU) dipercayai sebab harta pada tiga tahun lalu berbalas apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, hari ini.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhi hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi G.S Angela Dewi ,48, dan adiknya G.S Vijaya ,45, di akhir kes pembelaan.

Sebaik hukuman dibacakan, Angela yang memakai baju T berwarna hitam serta berseluar jeans biru dilihat menangis di kandang tertuduh manakala Vijaya didapati sugul.

Angela dikatakan merupakan pengusaha kedai makan dan adiknya adalah pembantu kedai tersebut.

Hasbulah dalam penghakimannya memaklumkan, walaupun tiada saksi mata namun mahkamah berpuas hati dan menerima keterangan-keterangan mengikut keadaan yang cukup menyakinkan bagi membuat satu kesimpulan perbuatan tertuduh menyebabkan kematian mangsa.

Katanya, meskipun jangkitan paru-paru yang turut dijumpai ketika bedah siasat juga boleh menyumbang ke arah mempercepatkan kematian mangsa pada waktu tersebut tetapi bukan penyebab kematiannya.

“Tertuduh pertama (Angela) menyatakan kejadian itu merupakan satu kes rompakan dengan membuat laporan polis pada petang hari kejadian itu ekoran rantai emas mangsa telah hilang.

“Selepas mendengar dan meneliti mitigasi pihak pembelaan dan hujahan pemberatan pihak pendakwaan dan kenyataan impak saksi (salah seorang anak lelaki mangsa), tiada keadaan mewajarkan pelaksanaan budi bicara untuk mengenakan penjara. Tiada pilihan selain gantung sampai mati,” tegasnya.

Terdahulu pada prosiding lebih sejam bermula 10.20 pagi itu, Peguam Anis Salihah Abdul Malek mewakili dua beradik itu merayu agar diberikan hukuman pemenjaraan minimum susulan merupakan kesalahan pertama tanpa rekod lampau.

Tambahnya, meskipun kedua-duanya bukan lingkungan warga emas dan berdasarkan rekod kesihatan lampau mendapati tertuduh kedua (Vijaya) pernah memohon menerima rawatan penyakit jantung di Hospital Serdang selain laporan perubatan berkaitan Angela dari penjara kajang.

“Dua beradik ini tinggal bersama selama ini dengan anak-anak tertuduh pertama telah kehilangan ayah mereka yang merupakan si mati dalam kes ini.

“Sekiranya ibu dan bapa saudaranya mereka dijatuhi gantung sampai mati akan memberikan kesan trauma kepada anak-anak mereka.

“Justeru, dipohon hukuman penjara dalam memberikan peluang kepada mereka menghabiskan sisa hidup termasuk bersembahyang di penjara sehingga ajal menjemput mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ainul Mardiyah Mohd. Ali menegaskan kedua-dua tertuduh zalim dengan membunuh suami dan abang ipar mereka.

“Ini satu pengkhianatan besar dengan si mati semestinya meninggal dalam keadaan terkejut, kecewa dan sedih kerana dibunuh oleh individu dipercayai dan disayanginya dalam keadaan kejam serta zalim menggunakan tukul sehingga menyebabkan kecederaan serius pada bahagian kepala.

“Kedua-dua tertuduh juga berani bunuh di kawasan terbuka iaitu di laman rumah pada waktu siang. Bahkan, mereka membuat kematian mangsa seolah-olah adalah kes rompakan atau samun,” katanya.

Jelas Ainul Mardiyah, semestinya ada perancangan rapi memandangkan semua termasuk mangsa tinggal dalam satu rumah.

“Mangsa adalah buta sepenuhnya dan sememangnya tidak berdaya melawan dan melindungi diri sendiri,” ujarnya.

Pihak pendakwaan turut mengemukakan kenyataan impak salah seorang anak lelaki mangsa berusia 18 tahun yang meluahkan beban hidup dihadapinya termasuk berhenti sekolah di tingkatan tiga selepas kematian bapanya itu.

Mengikut pertuduhan, Angela dan Vijaya secara bersama telah membunuh R.Devarajoo, 59, di sebuah rumah, Lorong Jati 1, Rumah Murah PKNS Blok A, Kampung Baru Sungai Chua, Kajang antara pukul 12 hingga 1 tengah hari pada 1 Oktober 2020.

Sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara 30 tahun dan disebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seramai 16 saksi pendakwaan dikemukakan manakala dua tertuduh memberikan keterangan di kandang tertuduh sepanjang kes perbicaraan bermula 27 Februari tahun lalu.

Kosmo! pada 21 Oktober 2020 melaporkan, seorang wanita tergamak merancang pembunuhan suaminya yang buta semata-mata untuk mendapatkan harta milik lelaki itu yang dianggarkan berjumlah lebih RM2 juta.

Suspek dikatakan akan mendapatkan harta termasuk aliran tunai milik suaminya yang berjumlah lebih RM2 juta termasuk RM800,000 daripada insurans ekoran kematian mangsa.

Difahamkan, mangsa berusia 59 tahun yang mengusahakan perniagaan lori dan besi buruk mengalami cacat penglihatan sejak 20 tahun lalu ekoran penyakit genetik keluarga. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI