LUMUT – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas disyaki terjun dari Jambatan Raja Permaisuri Bainun di Jalan Seri Manjung – Changkat Jering, semalam, ditemui mati lemas tengah hari ini.
Mangsa berusia 39 tahun ditemukan dalam keadaan terapung oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), berhampiran jeti sebuah kilang, kira-kira 1.5 kilometer dari jambatan tersebut, pada pukul 12.10 tengah hari.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.24 malam tadi mengenai seorang lelaki yang dilaporkan hilang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian dan menemui sebuah kereta di jambatan tersebut tetapi tidak menemui pemiliknya,” katanya, di sini hari ini.
Menurutnya, selepas perbincangan dengan pihak polis, SAR diteruskan mulai pukul 8 pagi ini menggunakan kaedah pencarian di permukaan air khususnya di pesisiran sungai menggunakan beberapa buah bot.
Beliau berkata, mangsa ditemui kira-kira empat jam kemudian dan disahkan telah meninggal dunia oleh anggota perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau memaklumkan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.05 tengah hari. – KOSMO! ONLINE