SHAH ALAM – Laporan Penyata Razak telah berjaya mengubah sosioekonomi termasuk masyarakat Melayu dalam bidang pekerjaan khususnya.
Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling berkata, ia telah mengubah sistem pendidikan negara seterusnya mengalakkan rakyat negara ini menuntut ilmu hingga peringkat tertinggi.
“Secara peribadi saya adalah salah seorang pelajar Melayu pada tahun 1956 yang merasai penaiktarafan pendidikan anak Melayu sehingga tahap sekolah menengah.
“Sebelum itu hanya ada sekolah Melayu sampai tahap darjah 6. Lepas tamat, jadi guru sekolah Melayu dan askar.
“Namun 80 peratus menjadi petani, nelayan dan penoreh getah. Kita amat bertuah ada Menteri Pelajaran pada ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein yanh membuat laporan berkenaan selepas melihat keadaan rakyat yang miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Kemerdekaan Sempena Kenegaraan Negara Ke-66 Tahun Peringkat Bahagian Hal Ehwal Pelajar di Kolej Mawar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Beliau menambah, hasil laporan tersebut yang menjadi permulaan sekolah menengah Melayu seterusnya menjadi asas kepada pendidikan tinggi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan lain-lain universiti hari ini.
“Inilah makna kemerdekaan kita iaitu merdeka dari kemiskinan.Kalau tidak ada laporan tersebut kita adalah petani, nelayan, penoreh getah dan pesawah miskin papa kedana (sehingga kini).
Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang turut menjadi panel forum itu menegaskan agar sebarang ancaman kestabilan negara sama ada dari dalam dan luar negara ditangani secara menyeluruh.
Ujarnya, ini termasuk ideologi seperti ekstremisme agama,budaya luar seperti Gay, Lesbian, Biseksual dan Transgender (LGBT).
“Kestabilan dan kemerdekaan negara dapat dipertahankan sekiranya semua pihak menghormati hak-hak untuk setiap kaum yang telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE