PUTRAJAYA – Usahawan popular, Datin Noor Kartini mempertahankan tuduhan liar mengaitkan anaknya gadisnya, Ameera Khan dengan aktiviti berjudi lumba kuda ketika menghadiri sebuah acara jenama mewah di luar negara, baru-baru ini.
Noor Kartini yang juga ibu kepada bekas pengacara MeleTOP, Neelofa mengakui berbangga anak-anaknya masih tahu menjaga diri dan tidak mempunyai masalah sosial biarpun pernah menjejakkan kaki ke tempat yang tidak baik.
“Kita kena faham acara dan tempat perjudian itu berbeza. Apa yang Ameera bawa, sebenarnya beg jenama mewah. Kita kena tahu sejarah di sebalik sesebuah jenama itu.
“Kadang-kadang rasa geram sebab macam mereka tidak faham fesyen, jenama dan sejarah di sebalik barangan berkenaan.
“Alhamdulillah, tiada siapa boleh lihat anak-anak saya ada di kelab, tempat perjudian, minum arak, hisap rokok, shisha, vape dan lain-lain.
“Itu yang buat mama boleh rasa bangga. Allah pelihara dan tiada dalam keturunan kami yang pergi ke tempat perjudian dan lakukan perbuatan seperti yang didakwa.
“Kami tak pernah jejak kaki pun ke tempat perjudian.
“Kalau nak cakap fasal lain, saya rasa semua orang melalui fasa tersendiri seperti pada usia remaja, dewasa dan matang. Ada perubahan dalam kehidupan, tiada orang yang keluar terus sempurna.
“Kita pun kenal siapa keluarga, tahu anak kita siapa,” katanya lagi.
Terdahulu, tindakan Ameera yang terkenal dengan gelaran Little Miss Khan memuat naik foto sedang memegang sekeping kertas berupa tiket sebuah acara dengan kapsyen seolah-olah sedang melakukan sejenis pertaruhan mengundang kecaman ramai. – KOSMO! ONLINE